Pegawai dan anggota 5 Div akan terima dos penggalak
16:11 Nov 06, 2021  |  By SabahKini2
Pegawai dan anggota 5 Div akan terima dos penggalak

Panglima 5 Div Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, pemberian dos penggalak ini diutamakan kepada anggota tentera dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang penghujung November.

KOTA KINABALU: Seramai kira-kira 7,000 pegawai serta anggota Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dijangka mula menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dalam masa terdekat.

Panglima 5 Div Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, pemberian dos penggalak ini diutamakan kepada anggota tentera dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang penghujung November.

“Dengan penerimaan dos penggalak ini kita harapkan pasukan kita lebih bersedia untuk melaksanakan tugas di medan.

“Kita anggarkan seramai 7,000 akan menerima suntikan ini yang mana kita akan berikan terlebih dahulu kepada anggota tentera sahaja dahulu.

“Pemberian dos penggalak kepada ahli keluarga dan petugas awam di sini juga akan diberikan pada peringkat seterusnya berdasarkan arahan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pasukan vaksinasi combat medic (CMVT) bersedia meneruskan program jiwa murni dengan menggerakkan pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke kawasan pedalaman bergantung keperluan semasa.

“Setakat ini, sebanyak 26 program jiwa murni CMVT berjaya dilaksanakan di seluruh Sabah bagi pemberian vaksin dos pertama dan kedua membabitkan lebih 20,000 orang penerima vaksin.

“Kebanyakkan pihak yang menerima suntikan melalui program CMVT ini adalah dalam kalangan penduduk tempatan termasuk remaja yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Program 5Div Bersama Media di Kem Lok Kawi semalam.

Bercakap mengenai program ini Halim berkata ianya diadakan bagi mendedahkan sebahagian latihan yang dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penugasan menjaga kedaulatan negara.

“Program ini juga diadakan sempena Hari Ulang Tahun kedua penubuhan 5Div dan pada masa sama kita menghargai usaha pihak media yang banyak melakukan liputan terhadap 5Div terutama membabitkan usaha melawan COVID-19.

“Penulisan serta liputan pihak media semestinya memberi semangat bagi warga 5Div dalam menjalankan tugas menjaga keselamatan negara dan kita harapkan pihak media akan terus mengekalkan kerjasama dalam memberikan maklumat tepat kepada masyarakat,” katanya.

Comment