Majlis perkahwinan dan potong jambul cetus kluster baharu di Sabah
14:11 Nov 08, 2021  |  By SabahKini2
Majlis perkahwinan dan potong jambul cetus kluster baharu di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Karanaan, Ranau yang dikategorikan sebagai kluster komuniti disyaki berpunca daripada penganjuran dua majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Majlis perkahwinan dan potong jambul mencetuskan kluster baharu COVID-19 di Sabah pada 7 November, semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Karanaan, Ranau yang dikategorikan sebagai kluster komuniti disyaki berpunca daripada penganjuran dua majlis berkenaan.

"Majlis tersebut diadakan pada pada 21 Oktober serta 29 Oktober 2021 dan dihadiri saudara mara dari luar daerah. 

"Kluster ini mula dikesan apabila seorang lelaki tempatan, 29, yang mula bergejala mendapati saringan kendiri (RTK AG) positif dan kemudian membuat saringan lanjutan di Pejabat Kesihatan Daerah Ranau pada 29 Oktober 2021," katanya semalam.

Beliau berkata, kes indeks yang juga Pembantu Awam di Pejabat JKR Daerah Ranau disahkan positif dengan CT Value RDRP - 16.69 pada 30 Oktober 2021 dan didaftarkan pada 31 Oktober 2021.

Sementara itu katanya, dua kes lagi (merupakan ibu serta datuk kepada kes indeks) telah didaftarkan pada 31 Oktober 2021 juga daripada Kg Karanaan, dikesan melalui saringan kemasukan ke Hospital Ranau pada 30hb Oktober 2021. 

Katanya, aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 49 kontak sosial di Kg Karanaan turut positif COVID-19 Seramai 537 pesakit sembuh daripada COVID-19 pada 7 November 2021 menjadikan jumlah kumulatif 210,551 orang.

Dalam pada itu katanya, seramai 1,789 pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 728 orang di hospital, 1,049 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 12 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS). 

"Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 83 merangkumi 77 di Unit Rawatan Rapi serta enam di open ward.

"24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan. Bilangan pesakit peringkat empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 85 orang," katanya.

Beliau berkata, sebanyak dua kes kematian dilaporkan pada hari yang sama iaitu masing-masing satu kes di Beaufort dan Kota Marudu.

Bagaimanapun katanya, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam.

Comment