PRN Melaka menyaksikan pertembungan lebih 3 penjuru di 17 kerusi
15:11 Nov 08, 2021  |  By SabahKini2
PRN Melaka menyaksikan pertembungan lebih 3 penjuru di 17 kerusi

Pertembungan enam penjuru turut berlaku di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di DUN Duyong, DUN Gadek dan DUN Asahan, kerusi yang turut ditandingi Datuk Seri Idris Haron. Manakala, sembilan kerusi bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru dan lima

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan pertembungan lebih daripada tiga penjuru di 17 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Menariknya, pertembungan enam penjuru turut berlaku di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di DUN Duyong, DUN Gadek dan DUN Asahan, kerusi yang turut ditandingi Datuk Seri Idris Haron.

Manakala, sembilan kerusi bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru dan lima kerusi yang lain melibatkan pertembungan lima penjuru.

Seramai 112 calon iaitu 96 calon lelaki dan 16 calon wanita bertanding dalam PRN Melaka dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 28 calon.

Jumlah calon Bebas pula dilihat agak tinggi dengan 22 orang mendaftar sebagai calon dan bertanding di 16 kerusi dengan jumlah tertinggi ialah tiga calon di DUN Asahan.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pula membariskan lima calon manakala Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) meletakkan seorang calon yang juga merupakan penampilan pertama parti itu dalam pilihan raya.

Kerusi panas yang pasti akan menjadi tumpuan, antaranya DUN Tanjung Bidara yang mana ia menyaksikan pertembungan dua calon ‘heavyweight’ iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Kawasan lain yang dijangka panas adalah kerusi ditandingi dua bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali di DUN Lendu dan Adly Zahari di DUN Bukit Katil.

DUN Paya Rumput juga bakal menyaksikan pertembungan dua calon bernama besar iaitu Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rais Yasin.

Sementara itu, keputusan Norhizam Hassan Baktee bertanding atas tiket Bebas di DUN Pengkalan Batu dijangka menghangatkan pertembungan di kawasan itu yang turut ditandingi DAP menerusi calonnya, Muhamad Danish Zainudin.

Calon termuda di PRN Melaka ialah Farzana Hayani Mohd Nasir dari PH yang berusia 21 tahun manakala calon tertua pula ialah Datuk Kalsom Noordin dari BN.

Tumpuan rakyat Malaysia bermula pada Isnin terarah kepada PRN Melaka yang membuka tirainya dengan penamaan calon, menyaksikan 112 calon sah bertanding di 28 kerusi.

Selepas lebih setahun tiada pilihan raya - kali tearkhir PRN Sabah pada September 2020 - parti bertanding kini dilihat bersedia bertanding bagi membuktikan mereka masih relevan dan masih mendapat sokongan rakyat.

Menariknya, semua parti bahkan BN mempertaruhkan ramai muka baharu termasuk calon muda sebagai tarikan untuk menambat hati rakyat Melaka.

Berikut pecahan pertembungan calon di PRN Melaka:

Enam Penjuru

  1. N07 Gadek
  2. N10 Asahan
  3. N21 Duyong

Lima Penjuru

  1. N06 rembia
  2. N08 Machap Jaya
  3. N13 Paya Rumput
  4. N15 Pengkalan Batu
  5. N24 Bemban

Empat Penjuru

  1. N01 Kuala Linggi
  2. N09 Durian Tunggal
  3. N11 Sungai Udang
  4. N17 Bukit Katil
  5. N18 Ayer Molek
  6. N22 Bandar Hilir
  7. N23 Telok Mas
  8. N26 Serkam
  9. N28 Sungai Rambai

Tiga Penjuru

  1. N02 Tanjung Bidara
  2. N03 Ayer Limau
  3. N04 Lendu
  4. N05 Taboh Naning
  5. N12 Pantai Kundor
  6. N14 Klebang
  7. N16 Ayer Keroh
  8. N19 Kesidang
  9. N20 Kota Laksamana
  10. N25 Rim
  11. N27 Merlimau

 

3 Comments