Kes baharu di Sabah meningkat kepada 573 kes
16:11 Nov 10, 2021  |  By SabahKini2
Kes baharu di Sabah meningkat kepada 573 kes

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, kes berpunca dari saringan bergejala yang sinonim dengan kes-kes sporadik adalah tinggi membabitkan sebanyak 239 kes.

KOTA KINABALU: Kes harian COVID-19 di Sabah meneruskan trend peningkatan dengan jumlah sebanyak 573 kes direkodkan hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, peningkatan kes yang agak tinggi berlaku di beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu yang meningkat sebanyak 32 kes berbanding semalam.

Katanya, daerah lain yang mencatatkan peningkatan agak besar termasuk Tuaran, Putatan, Papar, Kuala Penyu, dan Sandakan, manakala daerah yang mencatatkan penurunan signifikan adalah Tawau, Kota Marudu, Sipitang, dan Ranau.

Menurutnya, dua daerah kekal sebagaimana catatan semalam dan sebanyak 23 daerah merekodkan kes di bawah paras 40 kes dan empat daerah mencatatkan kes di atas paras 40 kes.

"Kes berpunca dari saringan bergejala yang sinonim dengan kes-kes sporadik adalah tinggi membabitkan sebanyak 239 kes atau 41.7 peratus.

"Malah ada daerah yang mencatatkan jumlah kes dalam kategori ini melebihi 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di daerah berkenaan. Kes-kes ini sering dikaitkan dengan kegagalan atau kealpaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Analisis jumlah kes yang dicatat semalam menunjukkan sebanyak 344 kes atau 60 peratus adalah kes yang berlaku dan didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu," katanya.

Beliau berkata, selebihnya iaitu 39.8 peratus lagi kes yang didaftarkan antara dua hingga lima hari setelah keputusan ujian saringan diperoleh. Hanya satu kes hari ini didaftar lewat melebihi lima hari.

Comment