Jalan Tambunan-Keningau terputus akibat tanah runtuh
14:11 Nov 11, 2021  |  By SabahKini2
Jalan Tambunan-Keningau terputus akibat tanah runtuh

Pengarah JKR Sabah Ali Ahmad Hamid berkata, runtuhan dipercayai akibat kegagalan pembetung sementara di bawah jalan itu disebabkan hujan lebat berterusan.

KENINGAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah hari ini mengesahkan laluan menghubungkan Tambunan dengan Keningau berhampiran Kampung Liau terputus akibat tanah runtuh, semalam.

Pengarah JKR Sabah Ali Ahmad Hamid berkata, runtuhan dipercayai akibat kegagalan pembetung sementara di bawah jalan itu disebabkan hujan lebat berterusan.

“Ketika ini jalan itu belum boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan dan kerja-kerja lencongan sementara juga sedang giat dijalankan.

“Penduduk dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan Jalan Ranggom Kepayan – Magatang sebagai alternatif,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik dalam satu kenyataan hari ini berkata, orang ramai yang ingin melalui jalan berkenaan sama ada dari arah Apin-Apin ke Pekan Keningau atau sebaliknya boleh menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Trans Pagalan (Magatang-Ranggom Kapayan).

Sehubungan itu, beliau memohon Kerajaan Persekutuan agar segera menyalurkan peruntukan bagi pembinaan jambatan kekal di jalan itu, yang jika diluluskan akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Sementara menunggu peruntukan tersebut, tindakan Kementerian Kerja Raya Negeri melalui JKR adalah membina jambatan separuh kekal yang dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

“Pihak konsesi JKR juga akan membina jalan lencongan yang dijangka siap dalam tempoh seminggu bagi memudahkan orang ramai selain menjimatkan masa, kos dan mengurangkan kesesakan di beberapa laluan,” katanya. 

1 Comment