Sabah merekodkan 611 kes baharu COVID-19
16:11 Nov 12, 2021  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 611 kes baharu COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, corak perubahan angka bagi setiap daerah adalah tidak statik. Namun, beberapa daerah termasuk ibu negeri, Kota Belud, Tuaran, Beaufort, Ranau dan Kota Marudu konsisten sebagai penyumbang

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 611 kes baharu COVID-19 dengan penambahan 32 kes berbanding hari sebelum ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, corak perubahan angka bagi setiap daerah adalah tidak statik.

Beliau bagaimanapun berkata, beberapa daerah termasuk ibu negeri, Kota Belud, Tuaran, Beaufort, Ranau dan Kota Marudu konsisten sebagai penyumbang kes baharu yang tinggi setiap hari.

“Meskipun berlaku peningkatan kes harian bagi Sabah, namun jumlah daerah yang mencatatkan penurunan adalah lebih banyak berbanding dengan daerah yang mencatat peningkatan kes baharu. 

“13 daerah menunjukkan penurunan, manakala hanya 10 daerah mencatat peningkatan dan empat daerah lagi kekal sebagaimana kes yang dicatatkan hari sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, kes sporadik yang diperolehi daripada saringan bergejala kekal tinggi mencecah 39.8 peratus bersamaan 243 daripada jumlah kes harian. 

Katanya, sebahagian besar kes ini seringkali dikaitkan dengan kegagalan individu dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“97 peratus kes hari ini (semalam) adalah dalam kategori ringan yang hanya memerlukan rawatan dan pemantauan di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC). 

“Empat pesakit berada dalam kategori tiga, dua dalam kategori empat dan hanya seorang sahaja dalam kategori lima manakala 12 kes lagi masih dalam penilaian pihak JKNS,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata dos penggalak boleh diperolehi secara percuma di pusat perubatan Kerajaan bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Katanya, vaksin ini diambil selepas enam bulan penerimaan dos kedua bagi Pfizer dan tiga bulan selepas menerima dos kedua Sinovac.

Comment