Kereta bertembung dengan bas express di Jalan Lahad Datu - Sandakan
14:11 Nov 15, 2021  |  By SabahKini2
Kereta bertembung dengan bas express di Jalan Lahad Datu - Sandakan

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner, Rohan Shah Ahmad berkata, dalam kejadian jam 10.10 malam itu, kereta mangsa dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu, manakala bas ekspress yang dinaiki 27 penumpang dari arah Semporna ke Kota Kinabalu. Ma

LAHAD DATU: Seorang pemandu maut manakala penumpangnya parah selepas kereta mereka bertembung dengan bas ekspress di Kilometer 20 Jalan Lahad Datu - Sandakan, semalam.

Dalam kejadian jam 10.10 malam itu, kereta mangsa dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu, manakala bas ekspress yang dinaiki 27 penumpang dari arah Semporna ke Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner, Rohan Shah Ahmad berkata, mangsa lelaki berumur 26 tahun manakala penumpang iaitu rakannya berumur 50 tahun.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta mangsa dipercayai telah memotong sebuah kenderaan lain di kawasan selekoh.

“Namun, bas ekspress yang berada di laluan bertentangan tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kereta mangsa,” katanya dalam kenyataan medianya, semalam.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, mangsa dan rakannya tersepit di dalam kereta mereka dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu.

“Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.40 petang semalam, manakala rakannya yang parah masih menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu bas ekspress berumur 48 tahun dan semua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai disebabkan kecuaian mangsa yang memotong di garisan berkembar dan di kawasan selekoh.

“Kedua-dua pemandu tidak dipengaruhi dadah atau alkohol, namun sampel darah mereka telah diambil untuk dianalisa oleh jabatan kimia,” katanya.

Rohan berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami meminta individu yang melihat kejadian tersebut untuk menghubungi pegawai trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk membantu siasatan.

“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengamalkan sikap bersabar ketika memandu demi keselamatan pengguna yang lain,” katanya.

Comment