Kes baharu COVID-19 di Sabah Kembali meningkat kepada 500 kes
17:11 Nov 15, 2021  |  By SabahKini2
Kes baharu COVID-19 di Sabah Kembali meningkat kepada 500 kes

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, sebanyak 224 kes (44.8 peratus) daripada keseluruhan 500 kes adalah kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui.

KOTA KINABALU: Kes harian COVID-19 di Sabah kembali naik membabitkan 500 kes direkodkan hari ini dengan kadar kebolehjangkitan (R-naught) buat masa ini 0.98.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu kembali menduduki tempat teratas sebagai penyumbang terbanyak kes baharu dengan 99 kes, tambahan 57 kes berbanding semalam.

Bagaimanapun katanya, mengikut analisis data hari ini, 95 kes daripada jumlah kes di Kota Kinabalu adalah kes daftar lewat dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui.

"Hanya empat kes direkodkan di daerah ini sepanjang tempoh 24 jam yang lalu.

"Antara daerah-daerah lain yang mencatatkan pertambahan kes baharu ialah Tuaran, Penampang, Beaufort, Tenom, dan Kuala Penyu.

"Kinabatangan mencatatkan penurunan jumlah kes yang besar dan empat daerah tidak merekodkan sebarang kes iaitu Telupid, Lahad Datu, Tongod, dan Kalabakan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 224 kes (44.8 peratus) daripada keseluruhan 500 kes adalah kes yang didaftar lewat dua hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui.

Menurutnya, 276 kes (55.2 peratus) adalah kes yang berlaku sepanjang tempoh 24 jam yang lalu.

Masidi berkata, lebih 98 peratus daripada jumlah kes semalam dianggap ringan dan tidak ada pesakit dalam kategori lima. 

"Kajian yang dibuat oleh Institut Kesihatan Malaysia menunjukkan dos penggalak meningkatkan perlindungan diri daripada jangkitan COVID-19.

"Semua penduduk yang berusia 40 tahun atau lebih diingatkan sekali lagi untuk memperolehi dos penggalak enam bulan selepas dos kedua Pfizer dan tiga bulan selepas dos kedua Sinovac," jelasnya.

1 Comment