Pusat hiburan salah guna lesen diserbu
15:11 Nov 16, 2021  |  By SabahKini2
Pusat hiburan salah guna lesen diserbu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, premis perniagaan restoran berkenaan dikesan menganjurkan pusat hiburan dan didapati melanggar syarat lesen yang dikeluarkan Majlis Daerah Lahad Datu.

LAHAD DATU: Berselindung di sebalik lesen perniagaan restoran, sebuah premis pusat hiburan, dikenakan kompaun selepas diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Lahad Datu, kelmarin.

Dalam operasi Op Noda dan Op Covid-19 yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu mendapati, premis yang menjalankan aktiviti pusat hiburan itu turut menerima ramai pengunjung.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, premis perniagaan restoran berkenaan dikesan menganjurkan pusat hiburan dan didapati melanggar syarat lesen yang dikeluarkan Majlis Daerah Lahad Datu.

Katanya, premis berkenaan juga didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran masuk premis.

“Selain itu, premis berkenaan juga tidak menetapkan pengunjung diwajibkan lengkap dos vaksin Covid-19 sebelum dibenarkan masuk.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis turut mengeluarkan kompaun terhadap tujuh pengunjung berjumlah keseluruhan RM10,500 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Rohan berkata, semua pelanggan terbabit didapati melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 kerana gagal mendaftar masuk ke premis berkenaan.

Katanya, polis turut menahan dua individu yang bertindak sebagai penjaga premis kerana melanggar syarat lesen operasi.

“Pasukan operasi turut merampas peralatan pusat hiburan termasuk alat pembesar suara dan komputer serta monitor di dalam premis berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam 1958 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, kes turut disiasat mengikut Peraturan-Peraturan 17, Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Comment