Sembilan premis dikenakan kompaun beroperasi lebih masa
15:11 Nov 18, 2021  |  By SabahKini2
Sembilan premis dikenakan kompaun beroperasi lebih masa

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, 11 kompaun keseluruhan dikeluarkan iaitu dua daripadanya adalah individu yang gagal memakai pelitup muka di kawasan awam. Sembilan yang lain adalah bagi kesalahan di premis yang ber

KOTA KINABALU: Terdapat segelintir individu serta pihak tertentu yang mengambil kesempatan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam kelonggaran yang diberikan sepanjang tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan itu bagaimanapun membawa padah selepas diberikan kompaun dalam operasi penguatkuasaan SOP di seluruh negeri Sabah kelmarin.

“11 kompaun keseluruhan dikeluarkan iaitu dua daripadanya adalah individu yang gagal memakai pelitup muka di kawasan awam.

“Sembilan yang lain adalah bagi kesalahan di premis yang beroperasi lebih masa tanpa kebenaran,” katanya.

Bercakap lanjut berkenaan operasi penguatkuasaan SOP COVID-19 di Sabah, Masidi berkata PDRM berjaya melaksanakan 11 Sekatan Jalan Raya (SJR) dalam tempoh 24 jam melibatkan pemeriksaan 8,359 kenderaan. 

“Daripada jumlah tersebut, tiada kenderaan diarah berpatah balik dan dalam tempoh sama PDRM turut melaksanakan 45 hebahan melalui kereta peronda dan tiada tangkapan dibuat sepanjang tempoh terbabit.

“Penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melibatkan 142 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 31 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan. 

“Hasil pemeriksaan merekodkan satu tangkapan dibuat mengikut Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

Tambahnya sebanyak 1,063 premis perniagaan turut diperiksa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan dua notis serta amaran dikeluarkan oleh PBT di Lahad Datu. 

“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga berjaya menjalankan pematuhan SOP di 563 premis perniagaan dan 770 individu di 18 kawasan dan tiada kompaun dikenakan kepada semua pihak yang diperiksa,” katanya.

Comment