Kluster Kampung Kemburongah mencatatkan 22 kes COVID-19
17:11 Nov 18, 2021  |  By SabahKini2
Kluster Kampung Kemburongah mencatatkan 22 kes COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster Kampung Kemburongah membabitkan ahli keluarga kepada pelajar dan warden berkenaan. Indeks kes adalah seorang pelajar yang tinggal di asrama berkenaan dan setakat ini 22 oran

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan satu kluster baharu iaitu kluster Kampung Kemburongoh di Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, statistik menunjukkan jangkitan membabitkan pelajar serta warden asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemburongoh.

Katanya kluster ini turut membabitkan ahli keluarga kepada pelajar dan warden berkenaan.

“Indeks kes adalah seorang pelajar yang tinggal di asrama berkenaan dan setakat ini 22 orang disahkan positif untuk kluster Kampung Kemburongoh ini,” katanya.

Dalam pada itu Masidi berkata Sabah mencatatkan pengurangan sebanyak 58 kes berbanding hari sebelumnya menjadikan 541 kes baharu di negeri ini semalam.

“Hasil penelitian mendapati pengurangan ini adalah kesan penurunan kes baharu di beberapa daerah termasuk Tuaran yang berkurang 39 kes, Kota Belud 24 dan Keningau 14.

“Kes baharu bagaimanapun dilihat bertambah agak tinggi di Penampang iaitu peningkatan sebanyak 25 kes dan Tenom 33 kes,” katanya.

Beliau berkata penambahan kes adalah berpunca daripada saringan bergejala yang agak tinggi iaitu 41.4 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

“43 daripada 93 kes di Ibu negeri adalah kes yang diperolehi melalui saringan bergejala manakala 24 kes daripada 56 kes di Tuaran dan 15 daripada 28 kes di Kota Belud. 

“Kes dalam kategori ini juga dikenali sebagai kes sporadik kerana tidak diketahui punca dan masa jangkitan dan kemungkinan besar ianya banyak berkait rapat dengan kegagalan mematuhi SOP,” katanya.

Masidi juga mengingatkan penduduk agar mematuhi SOP walaupun sudah memperolehi vaksin lengkap berikutan penerimaan vaksin tidak menjadikan individu kebal daripada jangkitan. 

“Vaksin yang diperolehi hanya menyelamatkan penerima daripada kesan serius jangkitan COVID-19 yang boleh membawa kepada kematian.

“Keberkesanan vaksin dapat dibuktikan melalui statistik harian pesakit yang dijangkiti COVID-19 iaitu secara purata 98 peratus pesakit hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala. 

“Hanya seorang pesakit bagi kategori tiga, dua dalam kategori empat dan tiga pesakit bagi kategori lima,” katanya.

 

Comment