Kluster baharu dikesan melibatkan institusi pendidikan
23:11 Nov 19, 2021  |  By SabahKini2
Kluster baharu dikesan melibatkan institusi pendidikan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Mantailang Atas, Tenom melibatkan seorang pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tenom didapati positif COVID-19 setelah menjalani saringan pada 13 Novem

KOTA KINABALU: Satu kluster baharu melibatkan institusi pendidikan dikesan hari ini melibatkan pelajar tinggal dalam asrama sekolah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Mantailang Atas, Tenom melibatkan seorang pelajar yang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Tenom didapati positif COVID-19 setelah menjalani saringan pada 13 November 2021.

"Saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sekelas, rakan asrama dan keluarga kontak rapat mendapati 15 orang lagi telah dijangkiti COVID-19 setakat ini," katanya hari ini.

Sementara itu, Masidi menjelaskan kes baharu COVID-19 di Sabah semalam adalah berjumlah 543 kes.

Katanya, Kota Kinabalu terus menjadi penyumbang utama kes-kes baharu di Sabah dengan 120 kes.

"Ranau dan Tuaran masing-masing mencatat 51 kes baharu. Hanya Penampang (40 kes) yang mencatat penurunan agak besar sebanyak 20 kes.

"Turun naik kes di daerah-daerah lain adalah pada skala kecil. Semporna dan Kalabakan tidak mencatat kes baharu," katanya.

Dalam pada itu katanya, jumlah pesakit yang mengalami kesan serius akibat jangkitan COVID-19 kekal rendah.

Katanya, daripada 543 kes yang dilaporkan hari ini, cuma seorang pesakit dalam Kategori 5, lima orang dalam Kategori 4 dan tidak ada pesakit dalam Kategori 3. 

"Bagi kes-kes jangkitan yang dianggap ringan, 466 orang pesakit adalah dalam Kategori 2 dan 65 pesakit dalam Kategori 1. Kes yang melibatkan enam pesakit masih dalam siasatan lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah," katanya.

Menurutnya lagi, berdasarkan kes harian di Malaysia pada 18 November 2021, jangkaan kadar kebolehjangkitan COVID atau R0 / RT bagi seluruh negara ialah 1.02 dan bagi Sabah ialah 0.97.

Comment