PPM tahan lelaki cuba seludup rokok
23:11 Nov 19, 2021  |  By SabahKini2
PPM tahan lelaki cuba seludup rokok

Pegawai Pemerintah PPM Kudat Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, hasil serbuan polis menemui seorang lelaki tua berumur 55 tahun dan sejumlah rokok seludup dianggarkan berjumlah RM 3,150.00.

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) Kudat berjaya merampas sejumlah rokok tidak bercukai dalam satu serbuan di dalam sebuah pondok di Tanjung Kapor semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat Asisten Superintendan Cyril Douglas berkata, serbuan dilaksanakan kira-kira jam 11.10 malam selepas mendapat maklumat risikan berkenaan kegiatan penyeludupan rokok di kawasan terbabit.

“Dalam operasi itu, pasukan yang menjalankan tugasan mengesan sebuah pondok tidak bernombor di kawasan tersebut yang dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok tidak bercukai. 

“Sebaik diserbu pihak polis menemukan seorang lelaki berumur 55 tahun yang menghuni pondok berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut di dalam pondok itu juga turut menemukan sejumlah rokok yang dipercayai tidak bercukai dianggarkan berjumlah RM 3,150.00” katanya.

Beliau berkata rampasan dan tangkapan dibawa ke Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

Tambahnya kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“PPM Wilayah 4 Sabah menghargai maklumat berkenaan kegiatan melanggar undang-undang yang disalurkan oleh komuniti Maritim.

Comment