10 buah rumah dan 6 kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Kinabutan
15:11 Nov 22, 2021  |  By SabahKini2
10 buah rumah dan 6 kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Kinabutan

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pasukan bomba mendapati api sedang marak dan memusnahkan 10 buah rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal serta enam buah kenderaan. Kejadian tersebut hanya melibatkan kerosakan harta

TAWAU: Kira-kira 143 orang penduduk kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung (Kg) Kinabutan Besar, Batu 5 Jalan Apas, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, sebanyak 10 buah rumah dan enam kenderaan tidak dapat diselamatkan dan hangus terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.21 pagi.

“Seramai 16 anggota dan pegawai bersama empat aset termasuk dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak dan memusnahkan 10 buah rumah jenis tidak kekal dan separuh kekal serta enam buah kenderaan, katanya.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi memadam dan menyelamat dengan menggunakan tiga pancutan daripada sungai berhampiran.

“Setakat ini kejadian tersebut hanya melibatkan kerosakan harta benda sahaja dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kebakaran dapat dikawal kira-kira jam 6.50 pagi sebelum operasi berjaya ditamatkan pada jam 11.27 pagi,” katanya.

Katanya, siasatan akan dijalankan oleh pasukan bomba untuk mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa.

4 Comments