Sabah merekodkan 526 kes COVID-19 baharu
17:11 Nov 23, 2021  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 526 kes COVID-19 baharu

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, walaupun Kota Kinabalu merekodkan penurunan kes, namun daerah terbabit kekal penyumbang utama kepada jumlah kes harian di Sabah dengan 101 kes.

KOTA KINABALU: Kes baharu COVID-19 di Sabah kembali merekodkan jumlah yang tinggi dengan 526 kes hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah yang mencatatkan pertambahan kes ketara termasuklah Kota Marudu, Beaufort, Papar, Telupid, dan Tambunan.

Menurutnya, walaupun Kota Kinabalu merekodkan penurunan kes, namun daerah terbabit kekal penyumbang utama kepada jumlah kes harian di Sabah dengan 101 kes.

"Kes-kes sporadik (saringan bergejala) kekal tinggi sekitar 41 peratus berbanding 52 peratus bagi kes-kes kontak rapat.

"Statistik ini membimbangkan kerana ia cerminan kepada sikap alpa dan lalai dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh sebahagian masyarakat.

"Mereka yang sudah lengkap divaksin juga adalah kumpulan terbesar kes jangkitan baharu setiap hari," katanya dalam kenyataan di hari ini.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengingatkan masyarakat, vaksin tidak memberi perlindungan 100 peratus, tetapi sikap individu adalah pelengkap kepada pertahanan daripada jangkitan.

Selain itu jelasnya, setakat semalam, kadar kebolehjangkitan atau R0 / RT bagi Malaysia ialah 1.0 tetapi bagi Sabah, kadar berkenaan naik melepasi 1.0 kepada 1.01.

Masidi berkata, daripada 526 kes baharu hari ini, sebanyak 515 kes atau 98 peratus adalah dalam kategori satu dan dua.

Katanya,  tiga pesakit dalam kategori tiga, empat pesakit dalam kategori empat, satu kes kategori lima dan tiga kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

3 Comments