Kes baharu COVID-19 di Sabah melonjak kepada 622 kes
17:11 Nov 24, 2021  |  By SabahKini2
Kes baharu COVID-19 di Sabah melonjak kepada 622 kes

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata,13 daerah mencatatkan peningkatan kes dengan empat daerah menunjukkan peningkatan yang sangat drastik iaitu Tuaran bertambah 57 kes, Ranau 46 kes, Kota Belud 38 kes dan Kinabatangan

KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu COVID-19 di Sabah terus melambung tinggi melepasi angka 600 menjadikan 622 kes baharu dengan peningkatan sebanyak 96 kes berbanding semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah yang tinggi ini tidak mengejutkan berikutan ianya sudah diramal pada peringkat awal dengan mengambil kira kadar peratusan kes sporadik yang tinggi iaitu hasil saringan bergejala.

“Peratusan kes sporadik secara konsisten berada pada tahap 35 hingga 40 peratus sejak beberapa minggu. 

“Jangkitan akan berlaku lebih cepat sekiranya virus berada dalam kalangan masyarakat yang mengambil ringan keperluan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta nasihat penjagaan kesihatan yang lain,” katanya.

Masidi berkata hasil penelitian statistik kes baharu itu, 13 daerah mencatatkan peningkatan kes dengan empat daerah menunjukkan peningkatan yang sangat drastik iaitu Tuaran bertambah 57 kes, Ranau 46 kes, Kota Belud 38 kes dan Kinabatangan 35 kes. 

Tambahnya kesemua 39 kes baharu di Kinabatangan adalah daripada Kluster Sawit Jati. 

“12 daerah yang lain bagaimanapun mencatatkan penurunan dengan enam daerah menunjukkan penurunan jumlah yang agak meningkat

“Daripada 622 kes baharu yang direkodkan itu 609 kes atau 98 peratus adalah dalam kategori satu dan dua yang lazimnya bukan dalam kategori yang serius. 

“Dua lagi pesakit adalah dalam kategori tiga diikuti dua pesakit dalam kategori empat dan tiga pesakit dalam kategori lima manakala enam kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negei Sabah (JKNS),” katanya.

Comment