100 Rumah Daif Dibaiki Di Batu Sapi Menerusi Program ICU JPM
18:02 Feb 06, 2018  |  By SabahKini2
100 Rumah Daif Dibaiki Di Batu Sapi Menerusi Program ICU JPM

BN terus menabur jasa. Pembangkang terus meroyan

 

SANDAKAN, 6 Feb- Sebanyak 100 rumah daif di kawasan Parlimen Batu Sapi dibaik pulih menerusi program Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Rumah terbabit adalah milik penduduk miskin dan miskin tegar yang berdaftar di bawah e-Kasih membabitkan 70 buah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong dan 30 lagi di DUN Karamunting.

Pegawai Pejabat Pembangunan Sabah (PPS) Datuk Ruji Ubi berkata kerja baik pulih rumah tersebut dibuat secara gotong royong dan untuk kawasan Batu Sapi telah siap sepenuhnya sejak program 'Touch Point' itu dilaksana bermula hujung tahun lepas.

Katanya sebanyak 1,200 rumah di negeri ini dibaik pulih menerusi program itu yang kini sudah 80 peratus siap.

Kerja gotong royong baik pulih rumah menerusi program itu di negeri ini juga dilaksana oleh Angkatan Tentera Malaysia, Polis, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Penerangan, katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau rumah siap dibaik pulih di Kampung Tronglit di Pulau Timbang dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sekong Datuk Samsuddin Yahya.

Sebanyak 18 rumah daif di kawasan DUN itu dibaiki menerusi program berkenaan.

Penerima bantuan itu, Dalimah Arani, 35, menghargai bantuan kerajaan yang membolehkan rumah yang didiaminya bersama-sama suami Mismat Halin, 35, dan lima anak mereka dibaiki.

"Sebelum ini kerosakan rumah kami seperti zink bocor, dinding dan lantai rumah rosak sukar dibaiki disebabkan faktor kewangan tetapi kini kami sekeluarga dapat tinggal selesa," katanya yang suaminya bekerja sebagai nelayan.

Dalam pada itu, Samsuddin yang juga pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Batu Sapi berkata pelaksanaan program itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan rakyat yang kurang berkemampuan tinggal di rumah yang selesa.

Katanya kebanyakan rumah dibaik pulih menerusi program itu di kawasan Batu Sapi adalah membabitkan nelayan yang sentiasa mendapat perhatian dari segi bantuan kerajaan.

Samsuddin turut menyampaikan bantuan beg dan peralatan sekolah serta Bantuan Awal Persekolahan kepada 132 murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Terusan Baru dan SK Trongliman.

-- BERNAMA

 

14 Comments