2 pengedar dadah dijatuhkan hukum gantung sampai mati
17:11 Nov 26, 2021  |  By SabahKini2
2 pengedar dadah dijatuhkan hukum gantung sampai mati

Hakim Dr Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas kedua tertuduh, Tan Teng Siong, 52, dan Tay Thong Keng, 34, didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 70,942.52 gram tiga tahun lalu.

Hakim Dr Lim Hock Leng membuat keputusan itu selepas kedua tertuduh, Tan Teng Siong, 52, dan Tay Thong Keng, 34, didapati bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Keputusan itu dibuat Hock Leng selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

“Kedua-dua tertuduh didapati gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kedua-dua tertuduh sememangnya mempunyai niat bersama untuk menyeludup dadah.

“Oleh yang demikian, kedua-dua tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 untuk digantung sampai mati,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Teng Siong (tertuduh pertama) dan Thong Keng (tertuduh ketiga) bersama seorang lagi, Tan Teng Sang, 37, (tertuduh kedua) didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 70,942.52 gram di Jalan Haji Karim (belakang bangunan Mahkamah Tawau) pada 12.30 tengah malam, 9 November 2018.

Bagaimanapun, Teng Sang, dibebas dan dilepaskan pada akhir kes pendakwaan pada 20 dan 21 Mac 2021.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada November 2020 itu, pihak pendakwaan memanggil tiga saksi sementara pihak pembelaan masing-masing hanya menampilkan kedua-dua tertuduh sebagai saksi sehingga perbicaraan selesai pada Jun 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran, manakala Teng Siong diwakili Dominic Chew Luke Ressa dan Thong Keng diwakili Ram Singh.

Comment