Lori tangki minyak sawit terbabas masuk gaung
14:11 Nov 29, 2021  |  By SabahKini2
Lori tangki minyak sawit terbabas masuk gaung

Lori tangki minyak sawit terbabas sebelum terbalik di Jalan Ranau Tambunan pada pagi tadi. Pemandu lori tersebut berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dihantar ke Hospital Ranau untuk menerima rawatan lanjut.

RANAU: Seorang lelaki cedera selepas lori yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Kampung Kinirasan, pagi tadi.  

Lori yang sarat membawa muatan kelapa sawit itu terbabas sebelum terbalik di Jalan Ranau Tambunan.

Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Ranau untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.08 pagi.

“Seramai tujuh anggota dan pegawai bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.

“Difahamkan, mangsa telah keluar sendiri daripada lori berkenaan dan telah dihantar ke hospital oleh awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Katanya, pasukan bomba menjalankan operasi pemeriksaan bagi memastikan kawasan sekitar dalam keadaan selamat untuk pengguna jalan raya lain.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 6.58 pagi selepas semua prosedur keselamatan dijalankan,” katanya.

Comment