Kes COVID-19 di Sabah turun kepada 342 kes
16:11 Nov 29, 2021  |  By SabahKini2
Kes COVID-19 di Sabah turun kepada 342 kes

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan merupakan angka terendah sejak 15 Julai 2021.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sebanyak 342 kes baharu COVID-19 hari ini dengan penurunan sebanyak 66 kes berbanding semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah berkenaan merupakan angka terendah sejak 15 Julai 2021.

"Daerah Kinabatangan mencatatkan kes tertinggi di Sabah dengan catatan sebanyak 85 kes. Jumlah yang tinggi ini berpunca daripada Kluster Sawit Mania yang menyumbang 84 kes baharu.

"Kes-kes yang melibatkan Kluster Sawit Mania merupakan kes yang berlaku dua hari lepas tetapi baru direkodkan hari ini selepas pengesahan keputusan ujian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 20 daerah di Sabah mencatatkan kes satu angka sahaja dengan lima daripadanya mencatatkan sifar kes.

Katanya, enam daerah mencatatkan penurunan signifikan iaitu Kota Kinabalu 29 kes, Ranau 17 kes, Tuaran 16 kes, Beluran 14 kes, Penampang 13 kes dan Kota Belud turun 10 kes.

"Hanya tiga daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu termasuk Kinabatangan yang mencatatkan pertambahan yang tinggi daripada Kluster Sawit Mania. Empat lagi daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

"Sekitar 98 peratus daripada semua kes di Sabah hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 yang hanya memerlukan rawatan dan pemantauan di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah.

"Dua pesakit dalam Kategori 3, satu pesakit dalam Kategori 4 dan satu pesakit juga dalam Kategori 5. Tiga kes lagi masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah," katanya.

Comment