RM1.25 bilion pembangunan prasarana di Sabah
04:12 Dec 01, 2021  |  By SabahKini2
RM1.25 bilion pembangunan prasarana di Sabah

Pembangunan prasarana akan membabitkan empat kategori projek iaitu Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan projek Bina Baru Program Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM1.25 bilion untuk projek pembangunan prasarana di Sabah pada tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jumlah peruntukan itu meningkat 6.25 peratus berbanding tahun 2021.

Pembangunan prasarana akan membabitkan empat kategori projek iaitu Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dan projek Bina Baru Program Perumahan Rakyat Termiskin, PPRT.

"Peruntukan ini membabitkan 248 projek yang akan dilaksanakan di Sabah," katanya selepas menyampaikan sumbangan pelitup muka, pelindung muka, cecair pembasmi kuman dan kerusi roda bagi kegunaan pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Papar, hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Mohd Tamin Zainal dan Adun Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan.

Mengenai program itu, Mahzhir berkata ia adalah tanggungjawab sosial korporat MARA dan anak syarikatnya MARA Liner Sdn Bhd dalam melaksanakan operasi Penilaian dan Vaksinasi Pantas (RAVO) dari rumah ke rumah bagi mempercepatkan vaksinasi masyarakat di luar bandar.

Melalui program RAVO itu, MARA menyasarkan 7,000 dos akan dapat diberikan kepada penduduk luar bandar di Sabah.

Jelasnya, selain di Papar program itu akan turut dilaksanakan di Kinabatangan, Beaufort dan Tawau membabitkan enam bas MARA Liner yang diubah suai menjadi PPV dengan sembilan kaunter vaksinasi termasuk untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Bagi daerah Papar pula, program RAVO membabitkan 21 kampung meliputi 1,500 penduduk yang akan menerima suntikan vaksin selama seminggu bermula 1 Disember ini.

1 Comment