Sabah merekodkan 467 kes baharu COVID-19
17:12 Dec 01, 2021  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 467 kes baharu COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara 14 daerah yang mencatatkan peningkatan kes termasuklah Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang Beaufort, dan Papar.

KOTA KINABALU: Kes harian COVID-19 di Sabah terus meningkat hari ini dengan 467 kes direkodkan membabitkan penambahan 66 kes berbanding semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara 14 daerah yang mencatatkan peningkatan kes termasuklah Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang Beaufort, dan Papar.

Menurutnya, satu kluster baharu yang melibatkan institusi pendidikan dikesan iaitu Kluster Sungai Batang Sandakan melibatkan seorang pelajar Politeknik Sandakan.

Katanya, kes indeks didapati positif COVID-19 dan hasil saringan kontak rapat mendapati seramai 23 pelajar turut dijangkiti. Jumlah kumulatif kes positif setakat ini seramai 24 orang.

"Daripada 467 kes yang direkodkan, sebanyak 97.4 peratus adalah dalam kategori satu dan dua, manakala empat orang dalam kategori tiga, seorang dalam kategori empat dan dua orang dalam kategori lima.

"Sebanyak lima kes lagi masih dalam penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Masidi berkata, seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R0/RT bagi seluruh negara setakat 30 November 2021 adalah 0.95 dan 0.96 bagi Sabah.

Beliau berkata, Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi dengan 83 kes, diikuti Tuaran 54 kes, Penampang 36 kes, Papar 34 dan Beaufort masing-masing 34 kes, Kota Belud 29 kes, dan Kota Marudu 28 kes.

Menurutnya, Ranau dan Sandakan masing-masing merekodkan 20 kes, Putatan 19 kes, Sipitang 18 kes, Keningau 15 kes, Tenom 12 kes, Lahad Datu 11 kes, manakala Tawau dan Kudat masing-masing 10 kes.

Katanya, sebanyak sembilan kes direkodkan di Kuala Penyu, Tambunan, Beluran dan Pitas masing-masing enam kes, Telupid dan Kinabatangan masing-masing tiga kes, Tongod hanya satu kes, manakala Semporna, Kunak, Kalabakan, dan Nabawan tidak merekodkan sebarang kes.

Comment