Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sejak Sabah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 November lepas, semua sektor ekonomi dan sosial di negeri ini dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh tertakluk kepada prosedur operasi stand
KOTA KINABALU: Usaha yang dijalankan kerajaan ke arah merangsang dan memulihkan ekonomi negeri Sabah melalui pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan serta program vaksinasi menunjukkan impak positif.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sejak Sabah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 November lepas, semua sektor ekonomi dan sosial di negeri ini dibenarkan beroperasi pada kapasiti penuh tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, pembukaan semula semua sektor menunjukkan hasil positif menerusi peningkatan aktiviti perniagaan dan pengeluaran serta perbelanjaan pengguna di negeri ini menjadi petanda positif ke arah pemulihan ekonomi.
Menurutnya, prospek ekonomi Sabah pada 2022 dijangka menunjukkan tren pemulihan yang lebih baik selari dengan pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global.
"Kerajaan negeri juga sedang dan akan memperkasa pelaksanaan projek-projek pembangunan meliputi pelbagai sektor selari dengan pelbagai strategi dan pelan pembangunan yang dirancang ke arah memulih dan merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi menghadapi kelmbapan ekonomi sekarang.
Dalam pada itu Hajiji berkata, kerajaan negeri juga mengambil langkah melonggarkan SOP rentas negeri dengan membenarkan kemasukan pelawat yang lengkap vaksin COVID-19 ke negeri ini tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19 berkuatkusa 1 Disember lepas.
Katanya, Sabah bersiap sedia sepenuhnya untuk menerima ketibaan pelancong luar sekiranya Malaysia membuka sempadan negara pada tahun hadapan.
"Saya yakin, walau dalam suasana norma baharu, kedatangan semula para pelancong akan mampu memulihkan semula sektor pelancongan di Sabah.
"Namun, pada masa sama, kerajaan juga akan terus memantau dengan rapi penularan varian baharu COVID-19 dan akan tetap mengambil kira keselamatan rakyat dalam melaksanakan apa juga tindakan," jelasnya.
Menurutnya, kerajaan negeri sedang mempergiatkan usaha untuk merealisasikan beberapa pelaburan baharu melibatkan projek pembuatan kaca photovoltaic (solar panel), pembangunan Bandar Pintar Tanjung Lipat, penanaman herbal perubatan di Kundasang, pembangunan resort eko-pelancongan di Pulau Mengalum, dan pembangunan hartanah di atas tanah Yayasan Sabah seluas 10 ekar di Tanjung Lipat Kota Kinabalu.
Di samping itu katanya, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) juga dijangka menerima pelaburan baharu melibatkan Projek ZLNG oleh PETRONAS, penapisan minyak kelapa sawit bersepadu, pembuatan produk logam silicon, pemprosesan kitar semula teknologi hijau e-waste, kemudahan rawatan sisa perindustrian (industrial waste treatment facility) dan perkhidmatan marin.
"Sekiranya pelaburan-pelaburan ini direalisasikan kelak, Sabah dijangka menerima jumlah pelaburan langsung yang dianggarkan lebih kurang RM25 bilion.
"Negeri Sabah juga akan menyertai Ekspo 2020 Dubai pada Disember ini dengan misi untuk meneroka potensi perdagangan dan pelaburan yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
"Ekspo 2020 Dubai akan menjadi platform penting untuk negeri Sabah mempromosikan produk dan perkhidmatan negeri ini meliputi produk pelancongan dan perindustrian ke pasaran antarabangsa," katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin segala inisiatif dan program yang sudah, sedang dan akan dilaksana oleh kerajaan negeri berupaya untuk merancakkan semula aktiviti-aktiviti pelbagai sektor.
Hajiji berkata, ia sekali gus dapat memulihkan semula pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri ini.
"Saya berharap semua usaha kerajaan untuk mensejahterakan dan memakmurkan rakyat negeri ini mendapat sokongan padu daripada semua pihak," katanya.