Lelaki warga emas maut dirempuh Myvi
15:12 Dec 06, 2021  |  By SabahKini2
Lelaki warga emas maut dirempuh Myvi

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki dan sebuah kereta Perodua Myvi.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh kenderaan ketika cuba melintas jalan di Batu 2, Jalan Tuaran, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, mangsa Chong Yit Guan, 78, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KBSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki dan sebuah kereta Perodua Myvi.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 23 tahun bergerak dari arah Kopungit menghala ke Likas Damai.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan tiba-tiba melintas berkenaan dan sukar dielakkan.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu cuba mengelak ke sebelah kiri, namun gagal menyelamatkan mangsa.

“Kepala mangsa dipercayai terhantuk pada cermin hadapan sebelum jatuh di atas jalan di lorong sebelah kiri,” katanya.

Jo berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.55 pagi di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang hadir di lokasi kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Comment