16 Selamat: Bot penumpang Menumbok- Labuan hanyut kerana enjin rosak
20:02 Feb 06, 2018  |  By SabahKini2
16 Selamat: Bot penumpang Menumbok- Labuan hanyut kerana enjin rosak

BOT PENUMPANG MENUMBOK-LABUAN HANYUT SEBAB ENJIN ROSAK; 16 SELAMAT

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 14 (DM14) Labuan telah berjaya menyelamatkan 16 orang mangsa bot penumpang yang hanyut di perairan Labuan akibat bot yang mereka naiki mengalami kerosakan enjin, Selasa pagi.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md Isa menyatakan Bilik Operasi Maritim Labuan menerima laporan pada jam 9.15 pagi melalui Jabatan Laut Labuan, berkenaan sebuah bot penumpang bersama 16 orang mangsa termasuk dua kru bot mengalami kerosakan enjin pada kedudukan 0.56 batu nautika selatan Pulau Papan, disini.

Bot penumpang yang hanyut.

Dalam satu kenyataan Selasa tengahari, beliau berkata Maritim Labuan telah mengarahkan bot peronda KILAT 40 untuk melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat sejurus mendapat laporan tersebut.

“Pada jam lebih kurang 9.50 pagi, setelah 30 minit pencarian dilakukan bot dan ke semua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat,” menurut beliau.

“Ketika ditemui, semua mangsa berada dalam kesejukan berikutan laut bergelora serta hujan lebat. Bot tersebut seterusnya ditunda dan tiba di Terminal Feri Antarabangsa Labuan dengan selamat.”

Che Adnan berkata bot penumpang itu dalam perjalanan dari Jeti Menumbok Sabah menuju ke Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Penumpang selamat sampai di terminal antarabangsa Labuan.

Ketika dalam pelayaran, enjin bot tersebut telah mengalami kerosakan dan mengakibatkan bot tersebut hanyut. Keadaan cuaca yang tidak baik menyebabkan jurumudi bot membuat panggilan kecemasan untuk meminta bantuan.

Tambah beliau lagi semua pengusaha bot khususnya bot penumpang haruslah sentiasa membuat pemeriksaan awal ke atas kesiapsagaan bot dari aspek enjin sebelum memulakan operasi dan termasuk memastikan semua penumpang memakai jaket keselamatan semasa di dalam bot.

Pengusaha-pengusaha bot juga disarankan agar peka dengan keadaan cuaca di laut dan dalam masa yang sama tidak membawa lebihan penumpang serta mengutamakan aspek keselamatan.

sumber: Borneo Today

 
Comment