Penduduk berisiko dibaham buaya kerana tiada bekalan air
14:12 Dec 07, 2021  |  By SabahKini2
Penduduk berisiko dibaham buaya kerana tiada bekalan air

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berkata, masalah ketiadaan bekalan air itu memaksa penduduk untuk turun mandi di sungai selain mengambil air sebelum akhirnya dibaham buaya atau lemas.

KOTA KINABALU: Bekalan air yang dialami di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik telah mengundang kepada risiko kehilangan nyawa penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir berkata, masalah ketiadaan bekalan air itu memaksa penduduk untuk turun mandi di sungai selain mengambil air sebelum akhirnya dibaham buaya atau lemas.

“Masalah ketiadaan bekalan air, bukan setakat masalah kegagalan kita, tetapi bagi rakyat DUN Sebatik ia melibatkan kehilangan nyawa.

“Disebabkan ketiadaan air, mereka terpaksa turun mandi di sungai yang mendedahkan kepada risiko lemas, banjir malahan serangan maut buaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perbahasan Belanjawan Sabah 2022 di DUN Sabah disini hari ini.

Hassan berkata, pada tahun ini, seramai dua orang telah menjadi mangsa iaitu masing-masing di Kampung Brantian dan Kampung Serudung Laut.

Katanya, semua wakil rakyat mempunyai tanggungjawan untuk membantu mengatasi masalah bekalan air bagi memastikan rakyat tidak terus berdepan risiko keselamatan bagi mendapatkan air.

“Benar ajal maut ketentuan Tuhan tapi ini cerita orang dibaham buaya kerana tiada air dirumahnya.

“Peristiwa ini akan berulang dan akan menghantui kita jika kita tidak menyediakan bekalan air bersih kepada golongan rakyat seperti ini,” katanya. - SM

Comment