Akibat langgar SOP, 5 individu terima kompaun
14:12 Dec 07, 2021  |  By SabahKini2
Akibat langgar SOP, 5 individu terima kompaun

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kelima-lima kompaun itu dikeluarkan di seluruh Sabah selepas gagal mendaftar pada aplikasi MySejahtera serta buku pendaftaran semasa masuk ke dalam premis.

KOTA KINABALU: Seramai lima individu menerima kompaun selepas mengingkari Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kelima-lima kompaun itu dikeluarkan di seluruh Sabah selepas gagal mendaftar pada aplikasi MySejahtera serta buku pendaftaran semasa masuk ke dalam premis.

Katanya dua lagi notis serta amaran turut dikeluarkan masing-masing di Keningau dan Kinabatangan dalam pemeriksaan 1,047 premis perniagaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan. 

“Satu tangkapan turut dilakukan mengikut Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 dalam 122 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 45 lagi di perairan Kota Kinabalu dan Labuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia). 

“Dalam masa sama pihak polis turut melaksanakan 11 Sekatan Jalan Raya (SJR) melibatkan pemeriksaan 8,670 buah kenderaan bagaimanapun tiada kenderaan diarah berpatah balik,” katanya sambil menambah PDRM turut melaksanakan 42 hebahan melalui kereta peronda kelmarin.

Dalam pada itu katanya kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PPN Fasa 4 di Sabah berada pada tahap 98.6 peratus.

Katanya empat daerah termasuk Tawau, Tuaran, Kota Kinabalu dan Keningau pada tahap tertinggi iaitu 98.7 peratus manakala Sipitang, Penampang, Tenom, Kudat dan Ranau pada tahap 98.5 peratus.

1 Comment