SMJ Petroleum Sdn Bhd langkah terbaik Kerajaan GRS raih keuntungan industri minyak gas di Sabah
10:12 Dec 08, 2021  |  By SabahKini2
SMJ Petroleum Sdn Bhd langkah terbaik Kerajaan GRS raih keuntungan industri minyak gas di Sabah

'Situasi menang-menang' Pengumuman Kerajaan Sabah menubuhkan SMJ Petroleum Sdn Bhd kejayaan bersejarah bagi Sabah hasil keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai di antara kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Ramai pemimpin Warisan panas juga tidak senang duduk dengan usaha kerajaan GRS. Sesuatu yang Warisan gagal lakukan sebelum ini di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM 7 22 bulan dan Warisan berkuasa 26 bulan.

Kerajaan Sabah akhirnya mengumumkan penubuhan syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah, dinamakan SMJ Petroleum Sdn Bhd.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika mengumumkan perkara itu berkata, ia satu kejayaan bersejarah bagi Sabah hasil keputusan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai di antara kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

"CCA adalah dokumen yang paling penting di antara Sabah dan PETRONAS sejak 16 Jun 1976 apabila perjanjian pembayaran tunai atau royalti dipersetujui, yang ditandatangani di antara Sabah dan PETRONAS.

"Majlis menandatangani CCA hari ini sememangnya menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah," katanya pada Majlis Menandatangani CCA di antara kerajaan negeri dan PETRONAS di Menara Kinabalu

Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Safar Untong selaku wakil kerajaan negeri, manakala PETRONAS diwakili Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Yang turut menyaksikan majlis itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Menteri Kewangan II Datuk Masidi Manjun; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Ir Mohamed Firouz Asnan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata sejajar dengan terma dan syarat CCA, kerajaan negeri menubuhkan syarikat milik penuhnya sendiri untuk terbabit secara aktif dalam industri minyak dan gas.

"Saya berasa gembira mengumumkan penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd yang akan menerajui penyertaan komersial negeri dalam industri minyak dan gas serta menyelaras semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sedia ada bagi memastikan terma dan syarat CCA dilaksanakan untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya," katanya.

Beliau berkata, satu jawatankuasa bersama ditubuhkan oleh Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) baru-baru ini untuk membincangkan pembabitan secara komersial Sabah dalam industri minyak dan gas di antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PETRONAS.

Sebelum penubuhan jawatankuasa itu, katanya, kerajaan negeri dan PETRONAS mengambil inisiatif sendiri dengan mengadakan perbincangan bermula pada 8 Oktober lalu, yang akhirnya berjaya memuktamadkan CCA dua bulan kemudian.

"Ini menunjukkan PETRONAS dan kerajaan negeri boleh bekerjasama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah. Komitmen kerajaan negeri dan PETRONAS memudahkan Kerajaan Persekutuan kerana hanya satu Mesyuarat Jawatankuasa Bersama untuk kedua-dua pihak mencapai titik persamaan yang ditetapkan dalam CCA," katanya.

Hajiji berkata, perjumpaan Jawatankuasa Bersama diadakan pada 1 Disember lalu yang mana Kerajaan Persekutuan bersetuju mengesahkan dan memudahkan penguatkuasaan CCA.

Berbeza dengan Kerajaan Negeri Sarawak menubuhkan Petronas Sarawak Bhd (Petros) bagi mengambil alih kuasa kawal selia penuh terhadap aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas di negeri itu sejak julai 2018 dan mendapat Cukai Jualan (SST) Petroleum daripada Petronas sebaliknya Kerajaan Sabah menubuhkan syarikat bersama dengan syarikat Petronas yang berpengalaman untuk mendapat keuntungan bersama selain memperolehi Cukai Jualan Petroleum.

Belanjawan Negeri Sabah 2022 baru-baru ini mengumumkan jelas sumber hasil terbesar Negeri Sabah tahun 2021 ialah daripada pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk minyak dan gas. Royalti Petroleum sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM1.2 bilion atau 25.5 peratus diikuti dengan Cukai Jualan Produk Petroleum dengan sumbangan sebanyak RM1.1 bilion atau 23.4 peratus dan Cukai Jualan Minyak Sawit Mentah sebanyak RM810 juta atau 17.2 peratus.

Sudah pasti Kerjasama bersama PETRONAS membangunkan industri minyak dan gas dengan memastikan situasi menang-menang untuk Sabah akan menguntungkan rakyat Sabah tanpa perlu berkonfrontasi dengan PETRONAS.

 

 

2 Comments