9 individu langgar SOP dikompaun
13:12 Dec 08, 2021  |  By SabahKini2
9 individu langgar SOP dikompaun

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hasil operasi menunjukkan tujuh kompaun dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau Buku Pendaftaran di Ina

KOTA KINABALU: Seramai sembilan individu menerima kompaun dan notis amaran selepas mengingkari Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tujuh daripada kompaun dikeluarkan kepada individu yang gagal mematuhi SOP berdasarkan pemeriksaan pematuhan SOP terhadap 711 premis perniagaan dan 889 individu di 18 kawasan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

“Hasil operasi menunjukkan tujuh kompaun dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan gagal mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera atau Buku Pendaftaran di Inanam.

“Seorang pemilik premis turut dikompaun selepas gagal memastikan pekerja mendaftar ke dalam premis sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau buku pendaftaran di salah sebuah premis diperiksa,” katanya.

Menurutnya satu lagi kompaun turut dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di Tawau selepas pemilik premis tidak menyediakan alat pengimbas suhu dan pekerja gagal mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera atau mencatat nama dan nombor telefon dalam buku pendaftaran. 

“Seorang pengguna di Keningau turut menerima notis serta amaran dalam pemeriksaan 1,068 premis perniagaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengikut kawalan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya.

Dalam pada itu katanya seramai seramai 2,135 orang berjaya menerima vaksin pada 06 Disember berdasarkan statistik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Sabah.

“Daripada jumlah ini, seramai 1,953 orang adalah penduduk dewasa dan 182 orang adalah penduduk remaja menjadikan kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima vaksin dos 1 setakat 06 Disember 2021 adalah seramai 2,442,662 orang dan 2,394,182 orang yang sudah menerima dos kedua.

“Seramai 334,667 orang atau 77.11 peratus penduduk remaja sudah menerima satu dos vaksin, manakala penduduk remaja yang sudah lengkap dos vaksin adalah seramai 308,735 atau 71.14 peratus setakat ini,” katanya.

Comment