Tiada kes baharu COVID-19 dicatatkan 5 daerah
17:12 Dec 10, 2021  |  By SabahKini2
Tiada kes baharu COVID-19 dicatatkan 5 daerah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lima daerah terbabit termasuklah Kalabakan, Tongod, Nabawan, Kunak dan Semporna.

KOTA KINABALU: Lima daerah tidak mencatat sebarang kes baharu seiring dengan pengurangan 66 kes menjadikan hanya 263 kes baharu COVID-19 di Sabah semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lima daerah terbabit termasuklah Kalabakan, Tongod, Nabawan, Kunak dan Semporna. 

“Kebanyakan daerah mencatatkan jumlah kes yang lebih rendah berbanding hari sebelumnya bagaimanapun ibu negeri kekal penyumbang terbanyak kes di Sabah.

“Ibu negeri mencatat 47 kes iaitu 26 kes lebih rendah daripada hari sebelum ini dan Tuaran juga turun sebanyak lima kes Penampang berkurangan enam kes dan Ranau turun sembilan kes.

“Beaufort bagaimanapun menambah 10 kes hari ini dan Tenom naik lima kes manakala 11 daerah lain mencatatkan kes baharu di bawah paras 10,” katanya.

Masidi berkata Pembukaan aktiviti ekonomi yang semakin luas dan rancak juga meningkatkan interaksi antara penduduk. 

“Majlis sosial dan rekreasi bertambah rancak dan perkumpulan tidak dapat dielakkan, oleh itu kita harapkan agar semua rakyat kekal mematuhi semua SOP termasuk memakai pelitup dan mengamalkan penjarakan fizikal. 

“Disiplin diri penting bagi mengurangkan risiko jangkitan khususnya semasa berada di tempat yang ramai orang,” katanya.

Dalam pada itu katanya jangkitan secara sporadik sering berlaku semasa berada dikhalayak ramai atau berkumpulan. 

“Statistik jelas menunjukkan peratusan jangkitan secara sporadik adalah tinggi setiap hari dan 41.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes adalah berpunca daripada jangkitan sporadik dan angka ini tidak jauh beza dengan peratusan penyumbang utama jangkitan iaitu kontak rapat yang mencatat 48.3 peratus.

“252 daripada 263 orang pesakit adalah dalam Kategori ringan, empat orang dalam Kategori tiga, dua orang dalam Kategori empat dan dua pesakit dalam Kategori lima manakala tiga kes lagi masih dalam penilaian JKNS,” katanya.

Comment