PPM berjaya rampas rokok seludup
17:12 Dec 10, 2021  |  By SabahKini2
PPM berjaya rampas rokok seludup

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu, SUPT. Gan Ping Sin berkata, semasa pemeriksaan dilakukan di kawasan tersebut telah menemui beberapa rokok tidak bercukai di bawah bangunan.

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya rampas sebanyak 2,010 bungkus rokok seludup di sebuah bangunan di kawasan bandar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, anggota PPM bertindak menyerbu premis berkenaan selepas mendapat maklumat risikan dan awam berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan tersebut.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata melalui pemerhatian pasukan keselamatan, premis berkenaan tidak berpenghuni.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemukan beberapa kotak mengandungi sebanyak 2,010 bungkus rokok pelbagai jenama dipercayai tidak bercukai.

“Kita syaki rokok itu telah diseludup masuk dari negara jiran dan disembunyikan di dalam premis berkenaan sebelum dipasarkan di daerah ini,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam.

Katanya, semua rokok yang dianggarkan bernilai RM26,751.04 itu dirampas dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Pasukan keselamatan akan terus menyiasat kes tersebut dan akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya.

Gan berkata, mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti jenayah yang melanggar undang-undang negara.

Comment