Keputusan kes Peter Anthony Warisan pada 14 Disember
19:12 Dec 13, 2021  |  By SabahKini2
Keputusan kes Peter Anthony Warisan pada 14 Disember

Penentuan sama ada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dipanggil untuk membela diri atau dilepaskan daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada tahun 2014 di Mahkamah Sesyen di sini akan diketahui esok (Selasa). Jika.

Penentuan sama ada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dipanggil untuk membela diri atau dilepaskan daripada pertuduhan menggunakan dokumen palsu pada tahun 2014 di Mahkamah Sesyen di sini akan diketahui pada Selasa.

Ia akan diputuskan oleh Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi, selepas pihak pendakwaan menutup prosiding di akhir kes pendakwaan, bagi pertuduhan berkaitan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Jika mahkamah memutuskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap itu membela diri, keterangan pihak pembelaan akan didengar selama lima hari bermula 3 hingga 7 Januari tahun depan.

Sebelum ini, mahkamah dimaklumkan bahawa seramai lapan saksi pembelaan akan dipanggil memberi keterangan.

Pada 21 September lalu, pihak pendakwaan telah menutup kesnya selepas 15 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil sepanjang perbicaraan kes yang bermula 5 April lalu ialah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Peter diwakili peguam, Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin.

Peter, 50, didakwa sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen, iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 11 Julai 2014.

Dokumen itu didakwa mempunyai pernyataan palsu kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering, yang menyaksikan syarikat itu bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E), serta pihak UMS menyokong penuh permohonan syarikat tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 17 Julai 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peter turut didakwa atas pertuduhan alternatif, iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun tahun lepas, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas lima pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), dan dia juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun sama, atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah Risda bernilai RM15,545,400.

Ramai meramal Peter Anthony Naib Presiden bakal diarah membela diri berdasarkan fakta kes penipuan dokumen menggunakan syarikat miliknya Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd.

1 Comment