Sabah mencatat 224 kes baharu COVID-19
22:12 Dec 15, 2021  |  By SabahKini2
Sabah mencatat 224 kes baharu COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kadar jangkitan COVID-19 di negeri Sabah semakin hari semakin stabil.

KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu COVID-19 di Sabah hari ini tidak banyak berubah berbanding semalam dengan jumlah sebanyak 224 kes direkodkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kedudukan jangkitan COVID-19 di negeri ini juga menunjukkan tanda-tanda stabil.

Katanya, satu kluster baharu direkodkan membabitkan kluster tempat kerja di Jalan Labuk Batu 7 Sandakan.

"Kes indeks adalah kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didapati positif dan saringan kontak rapat dijalankan terhadap ahli keluarga dan rakan sekerja.

"Setakat ini, seramai 19 orang lagi didapati positif termasuk tiga kes baharu hari ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hampir 97 peratus daripada jumlah kes yang didaftarkan adalah dalam kategori satu dan dua yang hanya memerlukan pemantauan atau rawatan sama ada di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Masidi berkata, bagi kategori yang memerlukan rawatan di hospital pula, terdapat empat pesakit dalam kategori tiga, tidak ada pesakit dalam kategori empat dan dua pesakit dalam kategori lima. Satu pesakit masih dalam penilaian pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Katanya, Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi 36 kes, diikuti Tuaran 31 kes, Kota Belud 19 kes, Penampang 18 kes, Tenom 17 kes, Papar dan Sandakan masing-masing 16 kes, manakala Ranau dan Beaufort masing-masing 11 kes.

Comment