Maritim Malaysia berkas 5 warga asing, tiada dokumen
18:12 Dec 16, 2021  |  By SabahKini2
Maritim Malaysia berkas 5 warga asing, tiada dokumen

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang juragan bersama empat kru bot pukat tunda terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan lima lelaki tanpa dokumen pengenalan diri yang bekerja di bot pukat tunda semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot pukat tunda terbabit ditahan di perairan daerah ini pada kedudukan 0.73 batu nautika utara Pulau Manukan dekat sini sekitar jam 11 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati seorang juragan bersama empat kru bot pukat tunda terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 17 hingga 29 tahun dan disyaki warga Indonesia. Bot pukat tunda, juragan dan kru ditahan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Juragan dan kru bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan denda di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama," katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, dan boleh juga dikenakan sehingga enam sebatan.

Dalam pada itu, pihaknya akan terus meningkatkan operasi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) berikutan beberapa kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan melalui sektor ekonomi dan sosial.

"Maritim Malaysia turut memandang serius kepada aktiviti jenayah laut yang lain seperti penyeludupan, pencerobohan bot nelayan asing dan aktiviti pengeboman ikan," jelasnya.

Comment