GPS menang besar 76 kerusi, PH kalah teruk di Sarawak
22:12 Dec 18, 2021  |  By SabahKini2
GPS menang besar 76 kerusi, PH kalah teruk di Sarawak

Keputusan PRN 2021 menyaksikan DAP cuma meraih dua kerusi daripada 26 kerusi yang ditandingi. PKR dan Amanah terus bungkus.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencatat kemenangan besar 76 kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12, sekali gus memberi tamparan hebat ke atas Pakatan Harapan (PH).

Kejayaan GPS itu mengatasi 72 kerusi yang diraih Barisan Nasional pada PRN11 pada 2016.

Keputusan PRN 2021 malam ini menyaksikan DAP cuma meraih dua kerusi daripada 26 kerusi yang ditandingi.

Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula yang pertama kali bertanding meraih empat kerusi.

Pada PRN lalu, DAP cuma memperoleh tujuh kerusi.

Sekutu DAP dalam PH iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing kalah kesemua 28 dan lapan kerusi yang ditandingi mereka.

Sementara itu, komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas turut gagal meraih sebarang kerusi.

Tiga bekas ahli Bersatu yang bertanding Bebas tewas di kerusi masing-masing.

Ini termasuk naib presiden parti negeri ini, Datuk Ali Biju di Krian. Calon GPS, Friday Belik yang juga Residen Betong menang di situ. Ali, walaupun menarik diri sebelum mengisytihar menyokong Friday, dianggap sah bertanding kerana nama tercetak di kertas undi.

Pas pula terus kempunan untuk meraih kemenangan pertama di Sarawak apabila calonnya, Arifiazul Paijo tewas di Beting Maro. Afrifiazul Paijo cuma meraih 2,058 undi berbanding 3,769 undi diperoleh calon GPS, Razaili Gapor dalam persaingan lima penjuru.

3 Comments