Banjir: Tindakan segera, cepat dan tepat
20:12 Dec 20, 2021  |  By SabahKini2
Banjir: Tindakan segera, cepat dan tepat

Dengan bajet negeri yang terbesar di Malaysia iaitu sebanyak RM2 billion dari hasil cukai rakyat Selangor, kerajaan negeri perlu selesaikan masalah banjir ini. Kebanyakan parit, longkang dan sungai adalah di bawah pihak berkuasa tempatan dan di bawah kera

Pagi tadi pihak berkuasa telah menjumpai mayat kedua mangsa korban banjir di Selangor. Mangsa ini dijumpai mati lemas di rumah.

Tengahari ini tiga lagi mayat telah dijumpai di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Laporan terbaru juga menyatakan bahawa seorang pemandu lori telah mati lemas kerana terperangkap di dalam lori sewaktu banjir.

Saya lihat ada kemungkinan yang ramai lagi yang maut dan mati lemas dalam musibah banjir di Selangor ini yang akan dijumpai apabila air surut nanti.

Saya mempunyai banyak pengalaman mengharungi banjir di kampung semasa kecil.

Apabila dewasa, saya pernah ditugaskan oleh YAB Perdana Menteri untuk menangani krisis banjir di pantai Timur Semenanjung terutama di Kelantan semasa banjir besar pada tahun 2014.

Apabila krisis seperti ini berlaku, masa tindakan perlu cepat supaya rakyat tidak menunggu-nunggu untuk bantuan terutama bantuan makanan.

Faktor masa ini adalah amat penting. Dalam krisis, adalah lebih baik kita condong kepada mengambil tindakan dan keputusan cepat dan tersasar daripada lambat dan berhati-hati, kerana jika kita lambat risikonya adalah kematian orang ramai.

Pada hari pertama banjir di Kelantan, saya antara yang pertama tiba bersama anggota tentera membawa bantuan makanan melalui pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia di Pengkalan Chepa. Di samping makanan, kami juga telah membawa bot-bot tambahan dari Subang.

Pada ketika itu air masih naik dan ramai orang mangsa terperangkap di atas bumbung dan ramai juga lari ke atas bukit.

Sejak hari pertama, anggota tentera, polis dan JPAM telah digerakkan untuk memindahkan mangsa melalui bot-bot dan helikopter.

Pada masa yang sama bantuan makanan telah disampaikan melalui helihopter sehingga ke bukit-bukit di Kuala Krai dan Gua Musang. Saya sendiri telah menaiki helikopter-helikopter dan bot-bot ini untuk ke kawasan-kawasan banjir.

Saya masih ingat berbincang dengan Panglima Tentera Darat pada ketika itu tentang bagaimana untuk kita menghantar kret-kret makanan melalui helikopter apabila angin terlalu kuat dan hujan masih mencurah.

Oleh kerana bahaya untuk menggantung kret di helikopter dan tiada tempat untuk mendarat, kami telah membawa apa yang boleh di dalam helikopter dan terpaksa mencampakkan pek-pek makanan dari udara di sesetengah tempat kepada mangsa di atas bumbung dan di atas bukit yang kelaparan.

Mangsa banjir di Kelantan pada tahun 2014 adalah melebihi 200,000 orang dengan 21 kematian dengan kerosakan harta benda melebihi RM2 billion ringgit.

Di Selangor kini, laporan-laporan akhbar dari sumber-sumber kerajaan menyatakan bahawa jumlah mangsa banjir di pusat-pusat perpindahan adalah seramai kurang dari 10,000 orang. Saya anggarkan jumlah sebenar mangsa adalah lebih ramai dari ini.

Dan oleh kerana banjir ini berlaku di kawasan bandar yang berketumpatan tinggi, saya anggarkan jumlah kerosakan harta benda persendirian mahupun awam di Selangor pada kali ini juga adalah lebih tinggi dari di Kelantan iaitu melebihi RM2 billion.

Kadar kematian berbanding jumlah mangsa juga dianggarkan lebih tinggi.

Saya juga pernah menulis berkenaan punca banjir besar: https://www.ketsa.gov.my/ms-my/pustakamedia/Keratan%20Akhbar/Banjir%20berlaku%20kerana%20manusia.pdf

Saya mendapati bahawa salah satu faktor kejadian banjir besar di Kelantan dahulu adalah disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang tidak terkawal.

Di Selangor, aktiviti pembalakan tidak sebanyak di Kelantan. Namun demikian kerajaan perlu melihat kepada sistem perparitan di kawasan-kawasan bandar kerana apabila hujan turun lebih daripada biasa, parit dan longkang yang tersumbat serta sungai yang cetek akibat selut dari aktiviti pembinaan akan memburukkan keadaan berpuluh kali ganda.

Musibah banjir ini berlaku di kala rakyat di Selangor baru sahaja mahu mula memulihkan keadaan ekonomi mereka yang terkesan teruk akibat wabak COVID-19. Cabaran bertimpa ini amat sukar kepada kebanyakan rakyat.

Kerajaan perlu bantu dengan lebih banyak lagi tanpa banyak sekatan mahupun alasan. Ramai rakyat di Selangor bekerja, berniaga dan berhutang bank. Di masa inilah jika kerajaan ingin membantu melalui kementerian kewangan, moratorium bank, KWSP dan sebagainya.

Kerajaan negeri juga tidak boleh lepas tangan dan mengharapkan bantuan kerajaan persekutuan sahaja.

Dengan bajet negeri yang terbesar di Malaysia iaitu sebanyak RM2 billion dari hasil cukai rakyat Selangor, kerajaan negeri perlu selesaikan masalah banjir ini. Kebanyakan parit, longkang dan sungai adalah di bawah pihak berkuasa tempatan dan di bawah kerajaan negeri.

Saya doakan supaya semua mangsa-mangsa banjir akan selamat dan dilindungi oleh Allah SWT. Kita sama-sama berusaha untuk mengharungi cabaran dan dugaan ini.

Comment