GRS bawa lebih banyak pembangunan Sabah tahun 2022 kata Hajiji
08:12 Dec 24, 2021  |  By SabahKini2
GRS bawa lebih banyak pembangunan Sabah tahun 2022 kata Hajiji

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dalam amanat sempena Krismas dan Sambutan Tahun Baharu berkata GRS berada di landasan yang betul untuk membawa kemajuan buat seluruh penduduk negeri walaupun semasa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dibawa oleh kemunc

Kerajaan Sabah yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bekerja dengan lebih gigih untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri pada tahun 2022.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dalam amanat sempena Krismas dan Sambutan Tahun Baharu berkata GRS berada di landasan yang betul untuk membawa kemajuan buat seluruh penduduk negeri walaupun semasa berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dibawa oleh kemunculan pandemik COVID-19.

Beliau berkata kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik untuk menangani krisis termasuk dalam aspek ekonomi dan kesihatan.

“Kerajaan negeri tidak pernah goyah dalam melaksanakan pelan-pelan pembangunan walaupun semasa krisis. Kita bertekad untuk terus maju pada 2022 bagi memastikan segala agenda pembangunan seperti yang digariskan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan Bajet 2022 Negeri, berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata pelan pembangunan lima tahun SMJ bermula dengan jayanya Mac lepas, yang menyaksikan tiga pelaburan besar bernilai RM10 bilion berjaya ditandatangani, yakni projek Lok Kawi Resort City, pembangunan kilang pembuatan ‘foil’ tembaga dan projek kelapa bersepadu yang menyumbang kepada hasil tinggi.

Hajiji berkata kerajaan Sabah sentiasa bekerja keras bagi membawa pelaburan berimpak tinggi ke dalam negeri, dan perbincangan masih sedang berjalan dengan beberapa pelaburn untuk membawa pelaburan baharu ke Sabah.

“Sebaik sahaja pelaburan ini di muktamadkan, ia akan membantu merangsang semula pertumbuhan ekonomi negeri dan membawa manfaat kepada rakyat dan negeri,” katanya dan menambah Sabah juga berada di landasan betul untuk menjadi pusat pangkalan data pelabur bagi Asean, selaras dengan kerangka kerja pembangunan SMJ.

Beliau seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada rakyat Sabah atas kepercayaan dan sokongan berterusan kepada kerajaan negeri pimpinan GRS untuk memimpin serta membangunkan negeri, dan menyeru mereka untuk terus menjaga keamanan dan kestabilan agar Sabah dapat menarik pelabur berpotensi ke negeri ini.

Hajiji berkata satu lagi kejayaan besar kerajaan negeri adalah dengan pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial antara PETRONAS dan kerajaan negeri bagi menandakan era baharu dalam industri minyak dan gas Sabah.

Beliau berkata kejayaan ini membawa kepada penubuhan SMJ Petroleum Sdn Bhd, syarikat minyak dan gas milik penuh Sabah, dan menurutnya kerajaan negeri juga sedang dalam proses untuk memuktamadkan Pelan Induk Gas Sabah dengan PETRONAS yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

[ARTIKEL BERKAITAN-  SMJ Petroleum Sdn Bhd langkah terbaik Kerajaan GRS raih keuntungan industri minyak gas di Sabah ]

Seterusnya Hajiji mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas dan Tahun Baru 2022 kepada semua, dan beliau berharap sambutan itu akan mengukuhkan perpaduan, toleransi beragama dan rasa hormat dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah. – BERNAMA

 

1 Comment