Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Deny Rizlin William,36, dan anaknya, Daphne Dale yang berusia sembilan tahun maut di lokasi kejadian apabila kenderaan Vigo yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tiga tan.
PAPAR: Kegembiraan sebuah keluarga ingin meraikan sambutan Krismas di kampung bertukar tragedi apabila dua anggota keluarga mereka maut dalam kemalangan di Jalan Kimanis-Keningau hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Deny Rizlin William,36, dan anaknya, Daphne Dale yang berusia sembilan tahun maut di lokasi kejadian apabila kenderaan Vigo yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tiga tan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd. Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.14 petang dan dua pasukan pegawai dan anggota dari BBP Kimanis dan BBP Papar dikerahkan ke lokasi kejadian.
Semasa tiba di lokasi, didapati terdapat enam mangsa terlibat dan ada mangsa yang tersepit dalam kemalangan berkenaan.
Anggota bomba kemudian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memberi rawatan awal kepada yang cedera.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala seorang lagi, Daryleen Chilap,13, cedera parah.
“Sementara itu, seorang mangsa, Daniela Dale,6; serta datuk mereka, William Ngilo,61, dan pemandu lori iaitu Imran Turimin, 43, mengalami cedera ringan.
“Keluarga yang menaiki Vigo itu dalam perjalanan dari Kimanis menuju ke Keningau dipercayai untuk meraikan sambutan Krismas sebelum kenderaan mereka bertembung dengan lori tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mangsa maut diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut manakala, mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menaiki kenderaan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kesihatan (EMRS) dan ambulans.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.25 petang.