Bayi maut, empat parah kereta terbabas di Jalan Kimanis-Keningau
17:12 Dec 30, 2021  |  By SabahKini2
Bayi maut, empat parah kereta terbabas di Jalan Kimanis-Keningau

Wanita berkenaan duduk dibahagian penumpang hadapan sambil memangku bayi lelakinya berusia setahun dilaporkan tercampak keluar sebaik kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra terbabit terbabas.

PAPAR: Ibu kepada bayi maut dalam kemalangan di kilometer 40, Jalan Kimanis - Keningau, semalam disahkan meninggal dunia, hari ini ketika mendapatkan rawatan di Hospital Papar.

Wanita berkenaan duduk dibahagian penumpang hadapan sambil memangku bayi lelakinya berusia setahun dilaporkan tercampak keluar sebaik kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra terbabit terbabas.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati keluarga itu bergerak dari Keningau menuju ke Papar.

"Bagaimanapun, kereta yang dipandu suami mangsa dikatakan gagal dikawal sebelum terbabas dan merempuh bukit ketika menuruni jalan bukit berselekoh dalam keadaan hujan lebat

“Kenderaan berkenaan dilaporkan berpusing berapa kali sehingga mengakibatkan seorang bayi yang berada dipangkuan ibunya tercampak dari kenderaan itu

“Ekoran kemalangan itu, bayi lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu mangsa yang parah dihantar ke Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Batholomew berkata, ibu mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Papar.

Menurut beliau, pemandu bersama dua lagi mangsa membabitkan seorang kanak-kanak, 12, dan wanita berusia 20-an turut mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Comment