Dua daripada tiga beradik ditemui lemas, kakak masih hilang
14:01 Jan 02, 2022  |  By SabahKini2
Dua daripada tiga beradik ditemui lemas, kakak masih hilang

Menurut salah seorang mangsa yang berjaya diselamatkan, Zetty Mohaimin,17, berkata dia bersama lapan orang termasuk adik beradik, suami dan keluarga pergi ke pantai Batu Payung untuk beriadah.

TAWAU: Dua daripada tiga beradik yang gagal diselamatkan dalam tragedi bot karam di perairan Kampung (Kg) Batu Payung, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat mangsa, Jaidi Mohaimin,5, ditemukan terdampar di persisir pantai Kg Batu Payung kira-kira jam 6.30 pagi oleh penduduk kampung.

Mayat Saiful Mohaimin,15, pula ditemukan pada jam 8.58 pagi, tidak jauh daripada mangsa pertama, manakala Rahena Mohaimin, 20, masih hilang.

Menurut salah seorang mangsa yang berjaya diselamatkan, Zetty Mohaimin,17, berkata dia bersama lapan orang termasuk adik beradik, suami dan keluarga pergi ke pantai Batu Payung untuk beriadah.

Katanya, semasa dalam perjalanan balik, bot mereka dipukul ombak dan air masuk dari bahagian hadapan sebelum karam.

“Kami semua terjatuh ke dalam laut dan saya berusaha menyelamtkan diri berpaut pada tong ais yang kami bawa.

“Kami kemudiannya diselamatkan oleh bot nelayan, namun kakak dan dua adik saya hilang dipukul ombak,” katanya.  

Sementara itu, Timbalan Pengarah Zon Maritim Tawau, Komander (M) Amiludin Yenggah berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 4.40 petang kelmarin.

“Susulan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan mengarahkan dua aset ke lokasi kejadian.

“Turut membantu dalam operasi SAR termasuklah aset Pasukan Polis Marin (PPM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lebih kurang 20 bot penduduk kampung,”katanya.

Katanya, setakat hari ini, hanya dua mangsa yang hilang ditemukan, manakala seorang lagi masih hilang.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk ujian COVID-19 dan sekiranya negatif jenazah akan diserahkan semula kepada pihak keluarga untuk urusan pengkebumian.

“Semua agensi penguatkuasa masih menjalankan operasi SAR sehingga mangsa ketiga ditemukan dan maklumat akan diberikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Comment