Selepas keluar Warisan, Kes Peter tangguh lagi alasan tukar peguam
20:01 Jan 03, 2022  |  By SabahKini2
Selepas keluar Warisan, Kes Peter tangguh lagi alasan tukar peguam

Apa lagi wayang Peter? Tangguh kes pelbagai alasan vertigo, PKPB, Covid-19 dll. Kini selepas keluar parti tangguh lagi alasan tukar peguam. GRS kena hati-hati jangan terperangkap wayang Shafie dan Peter. Jika benar lawan Shafie, Peter mesti heret Shafie

Perbicaraan sudah bermula hari ini namun prosiding pertama bela diri Datuk Peter Anthony atas dakwaan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (ME) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditangguhkan berikutan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu melantik peguam baharu untuk mewakilinya.

Hakim Azura Alwi membenarkan penangguhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Peter melantik peguam baharu dan memohon prosiding hari ini dilapangkan.

“Saya memperkenalkan peguam baharu yang mewakili Peter iaitu S. Devanandan. Pihak pendakwaan bersetuju supaya kehadiran tertuduh (hari ini) dikecualikan atas alasan pihak pembelaan memohon tarikh (bela diri) dilapangkan kerana tertuduh telah melantik peguam baharu untuk mewakilinya,” kata Wan Shaharuddin.

Devanandan menggantikan peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin yang sebelum ini mengendalikan kes itu bersama seorang lagi peguam Datuk D. Senthinathan.

Sementara itu, Wan Shaharuddin berkata pernyataan saksi pembelaan perlu diserahkan kepada pendakwaan dalam masa seminggu sebelum saksi-saksi tersebut memberi keterangan.

“Pihak pendakwaan belum menerima pernyataan saksi pembelaan yang sepatutnya diserahkan hari ini,” katanya.

Devanandan pula memberitahu mahkamah pihaknya akan menyerahkan pernyataan saksi seperti dipohon oleh pendakwaan dan bercadang untuk memanggil empat saksi pembelaan termasuk Peter.

“Kami memberi aku janji untuk menyerahkan penyataan saksi pembelaan dalam tempoh seminggu bermula hari ini kerana kami masih belum berjumpa anak guam bagi mendapatkan arahan selanjutnya,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh baharu pada 9 dan 10 serta 16 hingga 18 Feb ini untuk tertuduh membela diri.

Pada 14 Dis 2021, Peter, 50, yang juga bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah diperintah membela diri atas pertuduhan memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (ME) di universiti itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, tingkat lima, bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014 dan dia didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan

Peter sebelum ini berjaya menangguhkan kesnya dengan pelbagai alasan bermula dengan sakit vertigo, program bersama Ketua Menteri, PKPBpindah kes dan kuarantin Covid-19 walaupun selepas itu didapati melanggar kuarantin.

Kini penangguhan kesnya atas alasan melantik peguam baharu untuk mewakilinya. Apakah semua ini 'wayang' Peter untuk mencari jalan melengahkan kes melepaskan diri dari kesnya. 

 

 

1 Comment