Lelaki Balik Umrah Kes Pertama Omicron Di Sabah
09:01 Jan 06, 2022  |  By SabahKini2
Lelaki Balik Umrah Kes Pertama Omicron Di Sabah

Menurut Masidi, lelaki berkenaan bersama isterinya menunaikan umrah pada 9 Dis hingga 18 Dis lepas dan kembali ke Malaysia pada 19 Dis melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KOTA KINABALU : Seorang lelaki tempatan yang tiba di negara ini pada 19 Dis lepas selepas menunaikan umrah, merupakan kes positif pertama COVID-19 varian Omicron dikesan di Sabah, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.    

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata lelaki berkenaan bersama isterinya menunaikan umrah pada 9 Dis hingga 18 Dis lepas dan kembali ke Malaysia pada 19 Dis melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata pesakit bersama isterinya itu tiba di Tawau pada 20 Dis dan diarah menjalani kuarantin di rumah, namun keputusan ujian penjujukan genom keseluruhan pada 4 Jan lepas menunjukkan lelaki tersebut positif varian Omicron.

“Semasa disahkan positif COVID-19, suami pada Kategori 2 manakala isterinya Kategori 1. Mereka berdua telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Jan lepas dan telah pulih daripada jangkitan virus COVID-19.

“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami, dikesan positif COVID-19 pada 24 Dis, namun penjujukan genom keseluruhan untuk isterinya masih dalam ujian,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata suami isteri itu telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 pada Jun tahun lepas dan pada masa ini kedua-duanya dalam keadaan sihat.

Mengulas kes COVID-19 di Sabah, Masidi berkata kes direkodkan hari ini meningkat kepada 280 kes berbanding 258 kes semalam. – BERNAMA

 

Comment