Bagus kukuhkan GRS, itu keputusan Peter, kita amal demokrasi - Hajiji
10:01 Jan 06, 2022  |  By SabahKini2
Bagus kukuhkan GRS, itu keputusan Peter, kita amal demokrasi - Hajiji

“Bagi saya sebagai ketua kerajaan GRS, ini satu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri. Jadi, kita berterima kasihlah,”

Hasrat bekas Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony menubuhkan parti baharu mesra kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengukuhkan lagi gabungan itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu merupakan perkembangan baik yang akan mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri. 

“Itu dia punya (keputusan). Kita mengamalkan demokrasi dan beliau telah membuat keputusan demikian untuk menubuhkan parti baharu yang mesra dengan kerajaan GRS.

“Bagi saya sebagai ketua kerajaan GRS, ini satu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri. Jadi, kita berterima kasihlah,” katanya kepada media menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang ihsan RM1,000 kepada mangsa banjir

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Peter untuk menubuhkan parti baharu selepas keluar daripada Warisan, baru-baru ini.

Ditanya sama ada Peter sudah menghubungi beliau secara peribadi bagi menyatakan hasrat itu, Hajiji berkata: “belum lagi.”

Pada 28 Dis lepas, Peter mengumumkan keluar Warisan dan menyatakan hasrat menubuhkan parti yang akan bekerjasama dengan kerajaan Sabah pimpinan GRS demi memperjuangkan hak serta nasib rakyat Sabah selepas melihat Shafie Apdal dan Warisan jauh tersasar dalam perjuangan apabila ia melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

 

 

 

1 Comment