QRF berjaya tahan 14 PATI Indonesia cuba masuk Tawau
14:01 Jan 13, 2022  |  By SabahKini2
QRF berjaya tahan 14 PATI Indonesia cuba masuk Tawau

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua mereka terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita selain tiga kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan, masing-masing berumur antara tig

TAWAU: Cubaan 14 pendatang asing tanpa izin (Pati) menyusup masuk secara haram ke negara ini gagal selepas dikesan Tim Quick Reaction Force (QRF), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2), semalam.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, ia susulan Operasi Benteng Bersama yang dijalankan di kawasan Jeti Pemunggahan Balak, Kampung Hidayat, di sini, jam 3.40 petang.

Menurutnya, ketika kejadian, sebuah bot laju itu dikesan sedang menghampiri di kawasan jeti, sebelum dilihat beredar secara terburu-buru sebaik semua penumpang diturunkan di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, tindakan pantas Tim QRF berjaya mengepung dan menahan kesemua Pati terbabit termasuk tiga lelaki yang cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua mereka terdiri daripada empat lelaki dan enam wanita selain tiga kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan, masing-masing berumur antara tiga hingga 69 tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah, dan disyaki cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Tawau.

Katanya, mereka dipercayai menggunakan khidmat ejen di Pulau Sebatik, sebelum dibawa menaiki bot laju ke Tawau dan seterusnya akan dijemput untuk dihantar ke destinasi masing-masing seperti yang sudah ditetapkan.

“Mereka kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk proses saringan Covid-19 dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Comment