Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa letupan bot pam masuk hari kedua
16:01 Jan 13, 2022  |  By SabahKini2
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa letupan bot pam masuk hari kedua

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, kejadian dipercayai melibatkan sekurang-kurangnya dua orang nelayan, namun bilangan mangsa sebenar belum dapat dipastikan.

SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa hilang selepas dipercayai terkena letupan bot pam di antara perairan Pulau Selaman dan Pulau Tatagan, memasuki hari kedua hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi di lokasi kejadian yang turut disertai agensi penyelamat lain, dimulakan jam 8.15 pagi.

"SAR dua mangsa terbabit dilakukan dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

"Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa berhubung operasi ini," katanya hari ini.

Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian letupan bot pam di perairan terbabit pada Selasa.

Kejadian dipercayai melibatkan sekurang-kurangnya dua orang nelayan, namun bilangan mangsa sebenar belum dapat dipastikan.

Hasil perbincangan bersama agensi penyelamat lain, SAR dijalankan di sekitar lokasi.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah dilaporkan berkata, setakat petang semalam, maklumat atau identiti mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Comment