Sebanyak 244 kes baharu COVID-19 direkodkan Sabah
14:01 Jan 14, 2022  |  By SabahKini2
Sebanyak 244 kes baharu COVID-19 direkodkan Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah Penampang mencatatkan jumlah kes tertinggi semalam dengan 50 kes.

KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan 244 kes baharu COVID-19 berkurangan sebanyak 13 kes berbanding hari sebelumnya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daerah Penampang mencatatkan jumlah kes tertinggi semalam dengan 50 kes (+31).

"Diikuti oleh Kota Kinabalu dengan 44 kes (-21), Ranau 27 kes (+12), Kota Belud 19 kes (+10), Papar 16 kes (-1) dan Tuaran 14 kes (-19).

"Peningkatan yang berlaku di Penampang agak tinggi yakni lebih dua kali ganda berbanding dengan jumlah hari sebelumnya," katanya hari ini.

Beliau berkata, kesemua enam daerah ini adalah daerah-daerah yang mencatat jumlah kes baharu dua angka.

Katanya, sebanyak 18 daerah hanya mencatatkan kes satu angka sementara Semporna, Kunak dan Tongod tidak merekodkan sebarang kes baharu.

"Sejumlah 241 kes daripada 244 kes yang direkodkan hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2.

"Terdapat dua kes dalam Kategori 3, satu kes dalam Kategori 4 dan tidak ada kes yang direkodkan dalam Kategori 5," katanya.

Comment