Satu kluster tercetus di Sabah, 265 kes direkodkan
18:01 Jan 15, 2022  |  By SabahKini2
Satu kluster tercetus di Sabah, 265 kes direkodkan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kluster yang diberi nama Kluster Kayul itu tercetus apabila kes indeks iaitu seorang warganegara berumur 62 tahun dikesan positif setelah menjalani ujian RTK Antigen.

KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan 265 kes baharu COVID-19 dengan satu kluster dikenal pasti di Kuala Penyu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Kayul Kuala Penyu merupakan kluster komuniti yang telah mempunyai 25 kes.

"Kluster yang diberi nama Kluster Kayul itu tercetus apabila kes indeks iaitu seorang warganegara berumur 62 tahun dikesan positif setelah menjalani ujian RTK Antigen. 

"Kes indeks didapati telah mengadakan majlis keagamaan bertempat di Kg Kayul yang dihadiri oleh ahli keluarga dari Kg Kayul, Kg Kebunau dan Kg Gerowot," katanya.

Beliau berkata, saringan pengesanan ke atas kontak rapat telah dijalankan dan setakat ini mendapati 24 kes lagi termasuk empat kes baru pada hari ini.

Dalam pada itu katanya, Kota Kinabalu mencatat kes baharu tertinggi sebanyak 70 kes diikuti daerah Papar dengan 23 kes (+7), Ranau 23 (-4), Penampang 19 (-31), Tuaran 19 (-5) dan Kota Belud 18 (-1).

"Secara keseluruhan, 10 daerah mencatatkan kes pada dua angka berbanding 11 daerah yang mencatat kes baharu pada satu angka dan enam daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu. 

"Daerah Penampang merekodkan jumlah penurunan yang paling besar iaitu 31 kes," katanya.

Menurutnya, sejumlah 261 daripada 265 kes yang direkodkan adalah dalam Kategori 1 dan 2.

Katanya, terdapat satu kes dalam Kategori 3, dua kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

Comment