Demi poligami, Khalid Samad serah banglo, ‘penthouse’, Proton X70 kepada isteri pertama
09:01 Jan 21, 2022  |  By SabahKini2
Demi poligami, Khalid Samad serah banglo, ‘penthouse’, Proton X70 kepada isteri pertama

Hilang dari masalah banjir Shah Alam rupanya MP Shah Alam sibuk berbini dua. Diheret ke mahkamah. Akhirnya isteri tua menang dapat banglo, penthouse, kereta, elaun dan lain-lain. Peringatan buat isteri-isteri tua.

Selepas menghilang dari masalah banjir Shah Alam dan asyik bergaduh dengan isteri di mahkamah untuk berpoligami, akhirnya Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam membenarkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berpoligami selepas bersetuju menunaikan hak-hak isterinya, Zaiton Abu Bakar.

Hakim Abdul Halim Abdullah membuat keputusan itu dengan membenarkan permohonan pembelaan daripada Zaiton untuk melakukan penyelesaian secara baik dengan suaminya di hadapan beliau.

Peguam daripada Tetuan Asri Musa & Co yang mewakili Datin Zaiton, Nurfarhana Abd Manaf berkata, anak guamnya mengarahkan untuk berbincang secara baik dengan Khalid bagi memastikan hak-haknya sebagai isteri pertama ditunaikan.

Kesetiaan isteri pertama

“Kita telah membuat satu perjanjian persetujuan Khalid dengan defendan, antaranya adalah nafkah isteri direkod dan diputuskan di hadapan hakim.

“Khalid sebagai plaintif bersetuju hendak memberikan sebuah rumah banglo diduduki mereka sekarang bersama sebuah ‘penthouse’ yang kedua-duanya terletak di Shah Alam, ditukar nama kepada Zaiton.

“Kemudian beliau juga bersetuju memberikan sebuah kereta yang sedang digunakan, iaitu Proton X70 selain tambahan elaun, iaitu kad kredit kepada defendan. Selain itu, perjanjian tersebut turut direkodkan nafkah bakal isteri yang akan diberikan,” katanya

Menurutnya, pertukaran nama hartanah dan kereta atas nama Zaiton akan dilakukan sebaik sahaja bayaran sewa beli dan ansuran diselesaikan.

Pada 8 Disember lalu, Zaiton memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap permohonan poligami oleh suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah sebelum Pendaftar Mahkamah, Norbyetty Mohd Nasir membenarkannya dan menetapkan sebutan semula pada 20 Disember lalu.

 

Comment