KKTP utamakan pembangunan aspek sosial, kesejahteraan rakyat
11:01 Jan 22, 2022  |  By SabahKini2
KKTP utamakan pembangunan aspek sosial, kesejahteraan rakyat

Menterinya Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ini termasuklah agenda yang menyokong kepada pemulihan ekonomi jangka masa panjang seperti pembangunan hartanah, perumahan, pembangunan prasarana dan infrastuktur asas.

KOTA KINABALU : Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah akan memberi fokus dan keutamaan terhadap pembangunan aspek sosial dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ini termasuklah agenda yang menyokong kepada pemulihan ekonomi jangka masa panjang seperti pembangunan hartanah, perumahan, pembangunan prasarana dan infrastuktur asas.

Katanya, selain itu juga membina baharu pasar, gerai dan tapak tamu untuk memberi keselesaan kepada para peniaga termasuk peniaga-peniaga kecil di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing.

“Pada tahun 2022, Kementerian telah diperuntukkan sejumlah RM 72.56 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM 13.89 Juta untuk perbelanjaan pembangunan.

“Perancangan yang teliti perlu disediakan bagi memastikan perbelanjaan bagi peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan dapat dibelanjakan mengikut tujuan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat tahun baharu 2022 KKTP Sabah disini kelmarin.

Masidi berkata, tumpuan juga harus diberikan terhadap usaha-usaha untuk menambaik dasar dan perundangan sedia ada, mempergiatkan pemantauan projek-projek PBT di lapangan dan melaksanakan kajian-kajian penilaian bagi tujuan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian Kementerian.

Katanya, perhatian khusus juga harus diberikan terhadap usaha meningkatkan kecekapan dan kesejahteraan rakyat melalui penambahbaikan mekanisma pelaksanaan, pemantauan, penyelarasan dan penilaian agar perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat adalah  lebih cepat, cekap dan berkesan.

Sementara itu, Masidi berkata, sepanjang tahun lalu, KKP telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Katanya, ia dapat dibuktikan melalui prestasi perbelanjaan mengurus dan pelaksanaan program dan projek-projek pembangunan di peringkat PBT.

“Pada tahun 2021, Kementerian telah dapat membelanjakan RM 61.11 Juta  bersamaan 80.66 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM 5.86 Juta  bersamaan dengan 49.48 peratus untuk perbelanjaan pembangunan.

“Saya mengambil maklum berkenaan kekangan-kekangan yang dihadapi pada tahun 2021 antara lain adalah disebabkan oleh Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan [PKP] dan Pelaksanaan SOP serta penyesuaian-penyesuaian tertentu yang perlu diambil oleh pihak Kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.- SM

Comment