Kluster baharu tercetus melibatkan institusi Pendidikan
17:01 Jan 22, 2022  |  By SabahKini2
Kluster baharu tercetus melibatkan institusi Pendidikan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Bypass Kologon melibatkan indeks kes seorang pelajar asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang berumur 16 tahun yang mula bergejala pada 17 Januari 2022

KOTA KINABALU: Sabah hari ini merekodkan satu kluster baharu COVID-19 melibatkan institusi pendidikan di Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Jalan Bypass Kologon melibatkan indeks kes seorang pelajar asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang berumur 16 tahun yang mula bergejala pada 17 Januari 2022.

"Pesakit kemudian melakukan ujian kendiri dan disahkan positif melalui saringan PCR. Saringan ke atas kontak rapat yang melibatkan 70 orang telah dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

"Setakat ini enam lagi pelajar rakan sebilik indeks kes didapati positif. Kesemua pesakit adalah dalam Kategori 1 dan 2 sahaja, mereka telah diasingkan serta diberi rawatan yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah merekodkan 218 kes baharu COVID-19 hari ini dengan peningkatan 42 kes berbanding hari sebelumnya.

Katanya, sembilan daerah mencatatkan kes dua angka semalam, antaranya ialah Tuaran 37 kes, Kota Kinabalu 34 kes, Sandakan 21 kes, Penampang 19 kes dan Putatan 17 kes.

"Sejumlah 12 daerah lagi mencatatkan kes satu angka dan enam daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu.

"Seramai 215 orang daripada 218 pesakit baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, tiga orang dalam Kategori 3. Tidak ada pesakit dalam Kategori 4 dan 5," katanya.

1 Comment